16
Ahd, Dis
9 ARTIKEL BARU

1MDB: Jeff Sessions Seperti Kakak Tua Yang Mengulang Cerita Orang Sebelumnya

Semasa
Typography

PEGUAM Negara Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Jeff Sessions sekadar mengulangi kenyataan Peguam Negara AS sebelumnya tanpa menyedari hakikat saman sivil Jabatan Kehakiman AS (DOJ)  tiada kaitan secara langsung dengan 1MDB.

Kenyataannya bahawa kononnya dakwaan korupsi berkaitan 1MDB merupakan "kleptokrasi pada tahap paling parah" dan AS sedang berusaha untuk memberikan "keadilan kepada mangsa-mangsa yang terbabit" membuktikan Sessions tidak memahami fakta kes berkaitan.

Lebih-lebih lagi apabila dokumen saman sivil ini hanyalah berdasarkan aduan dan andaian semata-mata sedangkan FBI belum lagi melakukan sebarang penyiasatan yang berjaya mengadakan bukti yang melangkaui keraguan yang munasabah.

Siapakah "mangsa-mangsa terbabit" dalam dakwaan Sessions? Apabila saya bertanyakan soalan kepada Thomas Goldstein, antara peguam Mahkamah Agung berpengalaman di AS mengenai justifikasi DOJ memfailkan saman ini dengan mengaitkannya dengan 1MDB sedangkan 1MDB tidak pernah membuat aduan dan mengaku dana atau wang kepunyaannya dicuri? Goldstein mengakui bahawa kes ini agak pelik kerana 1MDB bukan pengadu dan tidak mengakui kehilangan wang.

Mungkin kerana ada pihak yang beranggapan bahawa AS merupakan "polis dunia" maka saman sivil difailkan kononnya untuk memberi keadilan kepada rakyat Malaysia dan 1MDB. Goldstein juga menjelaskan DOJ berada dalam kebuntuan kerana 1MDB menegaskan bahawa wang yang didakwa hilang itu bukan wang mereka, sedangkan kes ini adalah dibina atas kepercayaan bahawa wang ini diambil dari 1MDB berdasarkan aduan yang dibuat oleh pihak yang tidak mewakili 1MDB.

Apabila saya tanyakan juga, sehingga kini hanya International Petrolium Investment Company (IPIC), dana kekayaan milik kerajaan Abu Dhabi yang mengadu kehilangan wang; kenapakah DOJ tidak menyiasat IPIC dan bagaimanakah mereka mahu memulangkan wang kepada IPIC sekiranya mereka menyiasat kes ini di bawah inisiatif kleptokrasi kerana IPIC tidak menerima dana daripada rakyatnya tapi dari pemerintahnya? Goldstein menjawab, terdapat kemungkinan DOJ tidak mengetahui apa yang sedang mereka hadapi dalam kes ini kerana tiada pengadu (di kalangan pihak yang kehilangan wang).

Mungkin elok dimaklumkan kepada Sessions bahawa kes di Singapura tiada kaitan langsung dengan 1MDB kerana 1MDB tiada akaun di sana. The Guardian melaporkan bahawa Monetary Authority of Singapore (MAS) mengarahkan Falcon Bank menghentikan operasi atas sebab “persistent and severe lack of understanding” of Singapore’s money laundering controls." Atas sebab ini Falcon Bank diarahkan untuk ditutup. Bukan atas sebab lain, termasuk 1MDB.

Bukan Falcon Bank sahaja yang mempunyai kelemahan ini, tetapi Development Bank of Singapore (DBS) (10 kesalahan), Union Bank of Switzerland (UBS) (13 kesalahan) dan BSI Bank (41 kesalahan).

Mungkin Sessions perlu dimaklumkan bahawa kes di Luxembourg juga tiada kaitan dengan 1MDB. Menurut Finews Asia dalam laporan bertajuk "Rothschild bleeds for 1MDB", Marc Ambroisien bekas pengarah bank Rothschild di Luxembourg dinamakan sebagai individu yang bertanggungjawab menyebabkan bank Swiss ini terbabit dalam apa yang didakwanya sebagai 'skandal 1MDB'.

Dalam laporan yang sama Finews menyebut "he allegedly accepted Khadem Al Qubaisi, former boss of Abu Dhabi state fund IPIC, as a client and carried out transfers of funds from 1MDB, originally set up as a Malaysian development fund, for him. Al Qubaisi is alleged to have even gifted Ambroisien with an Aston Martin for his services."

Laporan Finews Asia jelas menyebut bahawa individu yang dikatakan mengakibatkan Rothschild terbabit dalam 'skandal' ini adalah Ambroisien dan Ambroisien TIDAK dikaitkan dengan Arul Kanda, Shahrul Azral Ibrahim Halmi atau 1MDB sebaliknya dengan Al Qubaisi, dan seharusnya kaitan itu berterusan, iaitu kepada  IPIC, Aabar Investment PJS, Falcon Private Bank dan Abu Dhabi.

Adalah lebih tepat jika Sessions dan DOJ mengaitkan denda terhadap Bank Edmond de Rothschild Luxembourg ini dengan IPIC kerana 1MDB tidak mempunyai akaun dengan Rothschild. Qubaisi adalah pelanggan kepada Rothschild dan ketika itu, Qubaisi merupakan Pengarah Urusan IPIC, Pengerusi Aabar Investment PJS, iaitu anak syarikat IPIC dan bekas Pengerusi Falcon Private Bank, iaitu bank Swiss yang dimiliki oleh Abu Dhabi melalui Aabar Investment PJS.

Mungkin lebih wajar Sessions terlebih dahulu menjawab soalan-soalan ini sebelum terus membuat kenyataan, iaitu pertama, mengenai siapa sebenarnya yang kehilangan wang, IPIC atau 1MDB agar mudah mereka membuat keputusan untuk memulangkan kepada siapa hasil segala rampasan aset yang didakwa 'dari wang yang dicuri' ini. Kedua, jika pihak yang kehilangan wang ini adalah IPIC, bilakah mereka mahu mula menyiasat IPIC dan adakah wajar DOJ menggunakan inisiatif kleptokrasi jika mereka bercadang untuk memulangkan wang hasil rampasan ini kepada IPIC dan Abu Dhabi.

 

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.