19
Jum, Jan
674 ARTIKEL BARU

Audit Forensik Tanah FELDA Jalan Semarak Boleh Selesai Awal - Shahrir

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR – Audit forensik terhadap tanah FELDA yang dipindah milik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dijangka akan diselesaikan lebih awal daripada tempoh sebulan yang diberikan.

Menurut Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad semua dokumen projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) telah pun diserahkan kepada firma audit luar yang dilantik Jabatan Perdana Menteri.

“Pada hari pertama, mereka (firma audit) akan meneliti dokumen yang diserahkan kepada mereka dan, jika perlu, mereka akan datang (ke ibu pejabat Felda) untuk mendapatkan dokumen lain,” Shahrir dipetik sebagai berkata.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengumumkan pelantikan firma audit luar yang menurutnya akan menjalankan audit terhadap semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan projek KLVC.

Najib dilaporkan berkata, ia akan menilai semula proses pengawalan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran Felda, serta turut membabitkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Laporan penuh audit forensik itu akan dibentangkan kepada Jabatan Perdana Menteri.