25
Sel, Sep
110 ARTIKEL BARU

Keluarga Najib Tanggung Sendiri Perbelanjaan Umrah – PMO

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Arab Saudi adalah atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menjelaskan, ia bagi membincangkan isu-isu dua hala yang telah dipersetujui kedua-dua negara semasa kunjungan Raja Salman ke Malaysia tahun lalu. 

Rombongan tersebut turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir, Datin Seri Rosmah Mansor, Tun Rahah Mohammad Noah, beberapa ahli keluarga, kenalan dan pegawai Perdana Menteri. 

“Selain itu, adalah menjadi hasrat Perdana Menteri untuk menunaikan ibadah umrah semasa lawatan kerja ini. Datuk Seri Mohd Najib telah mengajak ahli keluarga beliau dan beberapa kenalan dalam lawatan ini bagi bersama beliau dalam mengerjakan ibadah umrah.

“Adik-adik Perdana Menteri termasuk kenalan beliau yang turut sama dalam lawatan ini telah membuat perbelanjaan sendiri ke Tanah Suci. Hanya Tun Rahah yang turut bersama Datuk Seri Mohd Najib dalam perjalanan kapal terbang ke Arab Saudi,” ujar kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu lagi, nama adik-adik dan kenalan Perdana Menteri telah dimasukkan dalam senarai rasmi rombongan bagi memudahkan urusan pentadbiran dengan pihak Arab Saudi bagi program ibadah umrah. 

“Perdana Menteri dan ahli rombongan juga telah diberi taraf Tetamu Negara oleh Kerajaan Arab Saudi,” ujar kenyataan itu lagi.