26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Anak Pesara Kini Boleh Beli Rumah PPA1M - Ali Hamsa

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Anak pesara kerajaan kini berpeluang untuk membeli rumah mampu milik di bawah Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Menurut beliau, keputusan itu membolehkan golongan anak pesara membeli rumah berharga lingkungan RM150,000 hingga RM300,000 bagi perumahan ?landed' (atapk) dan berstrata.

"Pada malam ini, saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan anak-anak pesara kerajaan untuk membeli rumah PPA1M, ada kemungkinan pesara semua sudah ada rumah."

"Tetapi anak-anak pesara juga boleh memiliki rumah PPA1M walaupun mereka tidak bekerja dengan kerajaan," katanya ketika berucap pada Majlis Khidmat Bakti Tahun 2018, di sini malam ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut butiran mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini, syarat permohonan PPA1M hanya terbuka kepada penjawat awam daripada semua gred jawatan, penjawat awam yang telah berpencen dan kontrak.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan kemudahan perubatan yang dinikmati oleh ibu bapa penjawat awam akan dapat terus dinikmati mereka walaupun penjawat awam berkenaan sudah bersara.

Sementara itu, Ali mahu pesara kerajaan kekal membantu kerajaan menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan dengan baik bagi menghindarkan maklumat tidak tepat ditularkan kepada rakyat sekali gus menjejaskan kestabilan ekonomi dan pembangunan negara.

Beliau juga menyarankan pesara kerajaan berkongsi pandangan mengenai kerajaan melalui landasan atau platform yang betul bagi menjaga kredibiliti dan imej perkhidmatan awam.

Katanya, pesara kerajaan yang merupakan pengasas dan tunjang kepada dasar-dasar yang telah diperkenalkan perlu aktif menyumbang idea dalam merealisasikan hasrat Malaysia menjadi antara 20 negara teratas dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat menjelang tahun 2050.

 

- BERNAMA