26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Tambang Tol Tidak Berubah Sejak Najib Jadi PM – Rahman Dahlan

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR – Sejak menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri bermula tahun 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghapuskan perjanjian berat sebelah menguntungkan konsesi pada zaman pemerintahan mantan sebelumnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, sekaligus menyebabkan harga tambang tol tidak berubah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancangan Ekonomi) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dipetik berkata, langkah merasionalisasikan tambang tol dilaksanakan selepas Khazanah dan KWSP mengambilalih pengurusan PLUS untuk mengimbangi mekanisme caj tol dan tidak lagi hanya memberi keuntungan kepada syarikat konsesi sahaja.

"Dibawah milikan penuh ini, perjanjian konsesi dirunding semula dan justeru semua lebuhraya milik PLUS seperti Lebuhraya Utara Selatan, Jambatan Pulau Pinang dan Link Kedua Tuas tidak memperlihatkan kenaikan tambang tol sejak Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009.

"Bukan itu sahaja, beberapa tol dimansuhkan sepenuhnya semasa pengumuman Bajet 2018 seperti Batu 3, Sungai Rasau, Lebuhraya EDL Johor Bahru dan Bukit Kayu Hitam," ujarnya dalam kenyataan media dipetik Malaysian Digest (mD).

Laporan berkenaan turut menegaskan bahawa kerajaan kini juga bekerjasama dengan kerajaan Sarawak menghapuskan semua lebuhraya bertol di negeri berkenaan sejak era pemerintahan Dr Mahathir dan menjadikan Sarawak negeri bebas tol.

Tambah beliau, lebuhraya utama baharu seperti Lebuhraya Utama Tengah sepanjang 411km menghubungkan terus Kelantan dan Pahang serta Lebuhraya Pan Borneo sebagai sistem perhubungan lebih cekap antara Sabah dan Sarawak juga bebas tol.

Semalam, calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, Dr Mahathir mempertahankan harga tol di lebuhraya dibina pada era pemerintahannya adalah termurah berbanding negara-negara lain.

Memberi contoh, Dr Mahathir berkata tol di Jambatan Pulau Pinang cuma berharga RM7 bagi perjalanan dua hala berbanding tol di sebuah jambatan di Jepun berharga RM270 sehala.

Justeru, jelas Abdul Rahamn, kenyaatn Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga telah melenyapkan idea Pakatan Harapan untuk menghapuskan tol sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan kelak.

"Hari ini, Dr. Mahathir melenyapkan idea asal pakatan itu untuk memansuhkan tol. Beliau sendiri menjelaskan keperluan kutipan tol dan turut memberitahu bahawa kadar tersebut adalah antara yang termurah di dunia.

"Perkara seperti ini dalam pakatan tersebut hanya akan membawa kepada konflik dalaman sehingga akhirnya, rakyat yang akan menderita. Berikutan itu, saya menggesa rakyat jangan terpedaya dengan janji-janji palsu pakatan tersebut," katanya.

Tambahnya lagi, idea pakatan untuk menghapuskan tol juga dianggap sebagai idea populis untuk mengelirukan rakyat.

"Pakatan Harapan mengumumkan bahawa mereka akan menghapuskan semua tol tanpa memberikan sebarang strategi, bukti atau rancangan bagaimana untuk melaksanakannya atau memberi sebarang angka samaada kos, bagaimana ianya dibiayai dan dari mana memperoleh pembiayaan itu.

 

"Ini adalah satu lagi tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak rasional oleh Pakatan Harapan dalam usaha untuk mendesak dan mengelirukan rakyat dengan agenda mereka," ujar menteri itu lagi.