21
Isn, Mei
933 ARTIKEL BARU

Pahang: Hujan Berterusan, Mangsa Banjir Meningkat Lagi

Semasa
Typography

KUANTAN - Hujan berterusan yang masuk hari kedua menyebabkan jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat lagi kepada 357 orang hingga 8 pagi ini berbanding 318 malam tadi.

Pengarah Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Zainal Yusof berkata daerah Rompin mencatatkan peningkatan mangsa dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka pada awal pagi ini di Dewan Orang Ramai Leban Chondong yang menempatkan 39 mangsa.

"Mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tekek, Pulau Tioman pula masih kekal 64 orang seperti malam tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata di Pekan keadaan banjir termenung menyebabkan jumlah mangsa tidak berubah dengan 254 orang masih ditempatkan di lima PPS.

"PPS terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Temai menempatkan 93 mangsa, Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pulau Manis (75 mangsa)," katanya.

Mangsa turut ditempatkan di Balai Raya Kampung Tanjung Pulai (39), SK Acheh (sembilan) dan Pusat Pemindahan Banjir Kampung Lamir (38).

 

- BERNAMA