26
Sab, Mei
823 ARTIKEL BARU

Majlis Peguam Tidak Profesional, Tidak Hormati Badan Kehakiman - Azalina

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Tindakan Majlis Peguam Malaysia untuk tidak hadir ke Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 boleh disifatkan sebagai tidak profesional sekaligus menunjukkan mereka tidak menghormati salah satu cabang Persekutuan negara, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurutnya, majlis tersebut telah dianjurkan sejak tahun 2010 lagi dan menjadi satu tradisi kepada semua pengamal undang-undang di Negara ini untuk sama-sama menyertai upacara tersebut.

“Alasan yang diberikan oleh Majlis Peguam Malaysia untuk tidak hadir ke majlis ini amatlah tidak berasas kerana pada tahun ini selain Majlis Peguam Malaysia, Peguam Negara juga tidak berucap namun tetap hadir ke majlis yang bermakna ini. Malah Pertubuhan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak turut hadir ke majlis hari ini.

“Majlis Peguam Malaysia yang sepatutnya mewakili lebih kurang 17,000 pengamal undang-undang di Semenanjung ini perlu berpegang kepada professionalism yang tinggi dan tidak terikat dengan apa-apa pegangan peribadi.

“Majlis Peguam Malaysia seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada pengamal undang-undang di negara ini, kerana ketidak hadiran mereka telah memberi imej yang buruk kepada organisasi tersebut,” ujarnya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Azalina, dalam masa yang sama, turut menyambut baik ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif yang membawa tema “Enhancing Acces to Justice Through Judicial Transformation” di mana kerajaan hari ini begitu terbuka dalam melaksanakan pelbagai transformasi perundangan disamping memastikan rakyat mendapat akses terbaik kepada keadilan.

“ Terima kasih atas komitmen yang diberikan oleh Badan Kehakiman terhadap usaha-usaha yang dibawa oleh Kerajaan terutamanya dalam memastikan kes yang didaftarkan di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak diselesaikan dengan cepat selain meneruskan sistem E-Kehakiman untuk memudahkan proses dalam perkhidmatan kehakiman.

“Usaha-usaha ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa memberi keutamaan tinggi dalam transformasi perundangan dalam negara,” katanya.

 

Terdahulu, portal berita melaporkan, Presiden Majlis Peguam, George Varughese mendakwa, pertukaran format pada Majlis Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 yang hanya membenarkan hanya Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif Raus berucap bertujuan menyekat badan itu serta menjadi alasan ketidakhadiran organisasi tersebut ke Pembukaan Tahun Kehakiman 2018.