17
Jum, Ogs
62 ARTIKEL BARU

Negara Tidak Akan Maju Jika Peranan Wanita Diketepikan - Najib

Semasa
Typography

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sesebuah negara tidak akan maju dan berjaya sekiranya peranan wanita dikesampingkan dalam arus pembangunan negara.

Beliau berkata banyak negara selama ini tidak menunjukkan komitmen mereka untuk memperkasakan wanita tetapi sudah menyedari bahawa kalau wanita dikesampingkan maka negara berkenaan tidak mungkin berjaya.

Berucap ketika melancarkan logo dan jenama Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW2018) di sini hari ini, Najib berkata kerajaan pimpinannya komited memperkasakan wanita agar golongan itu mendapat lebih peluang, ilmu semakin luas dan dilibatkan secara lebih menyeluruh dalam proses membuat keputusan sama ada sektor awam atau swasta.

"Sebagai sebuah kerajaan, kita beriltizam untuk sentiasa meninggikan peranan dan martabat wanita di dalam negara. Rekod kita adalah sangat baik dalam hal ini tetapi kita belum lagi puas hati (dengan pencapaian itu).

"Apatah lagi, dalam era globalisasi dan Revolusi Industri 4.0, maka peranan wanita semakin penting," katanya.

Najib berkata beliau telah mengumumkan 2018 adalah Tahun Memperkasa Wanita pada pembentangan Bajet 2018, yang akan merangkumi empat program iaitu literasi pelaburan, Malaysia Women Made, Impact 4 Humanity dan Revolusi Industri 4.0.

Beliau berharap program yang dirancang bagi memperkasa wanita dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan sokongan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak wanita.

"Saya yakin dan percaya jika semua program ini dilaksanakan dengan sepenuhnya, kita akan dapat menyaksikan peningkatan wanita dalam konteks arus pembangunan negara kita.

"Kita juga tidak lupakan untuk memberi tumpuan kepada kumpulan B40 supaya salah satu daripada program adalah untuk melonjakkan pendapatan mereka dalam masa yang singkat," katanya.

Kumpulan B40 merujuk kepada 40 peratus isi rumah dengan pendapatan bulanan RM3,900 dan ke bawah.

Najib pada majlis itu turut menyampaikan sijil kepada dua ikon TMW2018 iaitu Puteri Diraja Selangor, Datin Paduka Setia Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pemilik Fashion Valet Datin Vivy Yusof sebagai penggerak dan pemacu di atas pencapaian cemerlang dalam bidang kesukarelawan dan keusahawan.

Ahli perniagaan dan selebriti Neelofa Mohd Nor turut dilantik sebagai ikon TMW2018 namun tidak hadir hari ini.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

 

Kumpulan Koir LimKokWing University of Creative Technology turut mendendangkan lagu rasmi TMW2018 - Women of Tomorrow. - BERNAMA