22
Kha, Feb
740 ARTIKEL BARU

KWSP Isytihar Dividen 6.9 Peratus Akaun Konvensional, 6.4 Peratus Simpanan Syariah Bagi 2017

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 6.90 peratus bagi Simpanan Konvensional 2017 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM44.15 bilion dan 6.40 peratus bagi Simpanan Syariah, dengan agihan dividen RM3.98 bilion.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah keseluruhan agihan dividen bagi 2017 adalah sebanyak RM48.13 bilion, peningkatan 29.8 peratus dari 2016.

Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman berkata keseluruhan prestasi 2017 adalah juga merupakan tahun yang penting bagi KWSP memandangkan ia kini menguruskan dua skim simpanan dan mengisytiharkan dua kadar dividen.

"Simpanan Syariah menunjukkan prestasi yang kukuh untuk pengisytiharan dividen pertama.

"Ini membuktikan prestasi aset Syariah KWSP yang mapan, seterusnya memberikan berita baik kepada ahli kami yang telah bertukar kepada Simpanan Syariah. Untuk Simpanan Konvensional, kadar 6.90 peratus merupakan kadar tertinggi pernah diumumkan semenjak 1997," katanya.

KWSP berkata, pengagihan dividen bagi setiap akaun diperoleh daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, kerugian tidak nyata yang disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang asing dan harga instrumen derivatif, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.

Simpanan Syariah hanya memperoleh pendapatan mengikut bahagiannya daripada aset Syariah manakala bagi Simpanan Konvensional, sebanyak 38 peratus pendapatan diperoleh daripada aset Syariah dan 62 peratus daripada aset Bukan Syariah.

Sementara itu, pendapatan pelaburan kasar bagi 2017 adalah sebanyak RM53.14 bilion, jumlah tertinggi sejak penubuhan KWSP pada 1951.

KWSP berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM4.60 bilion diatribusikan kepada Simpanan Syariah, mengikut bahagiannya daripada jumlah keseluruhan aset Syariah manakala RM48.54 bilion diatribusikan kepada Simpanan Konvensional.

Pulangan bagi Simpanan Konvensional ditingkatkan oleh pendapatan yang diperoleh daripada pelaburan bukan Syariah berikutan peningkatan prestasi saham perbankan sedunia manakala Simpanan Syariah tidak dilaburkan dalam saham perbankan konvensional memandangkan ia tidak patuh Syariah.

Di samping itu, KWSP berkata, rosot nilai ekuiti daripada saham patuh Syariah, terutamanya daripada sektor minyak dan gas dan telekomunikasi telah menurunkan pendapatan portfolio Syariah KWSP.

Samsudin berkata sememangnya akan terdapat perbezaan pulangan Simpanan Syariah berbanding Simpanan Konvensional dalam jangka pendek.

"Bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, prestasi kedua-dua skim ini dijangka tidak akan jauh berbeza memandangkan kedua-duanya mempunyai objektif dan strategi pelaburan yang sama.

"Sebagai sebuah dana simpanan persaraan, objektif kami adalah untuk melindungi dan menambah nilai simpanan persaraan ahli kami dan ini boleh dinilai daripada kadar dividen yang diisytiharkan berbanding kadar inflasi Malaysia.

"Bagi 2017, kadar dividen yang diisytiharkan untuk Simpanan Syariah dan Simpanan Konvensional masing-masing adalah pada 2.61 peratus dan 3.11 peratus melebihi kadar inflasi sebanyak 3.79 peratus," katanya.

Beliau berkata sepanjang tiga tahun lepas, KWSP telah mengisytiharkan kadar dividen melebihi sasaran dua peratus dividen sebenar masing-masing sebanyak 3.51 peratus dan 3.67 peratus.

Mengenai pengagihan dividen 2017 sebanyak RM48.13 bilion, beliau berkata, jumlah yang perlu diagihkan untuk setiap satu peratus kadar dividen adalah RM7.02 bilion, selaras dengan pertumbuhan tahunan baki simpanan ahli sebanyak 10.98 peratus sejak 1990.

Setakat 31 Disember 2017, jumlah simpanan ahli adalah sebanyak RM768.51 bilion, yang mana RM67.76 bilion adalah di bawah Simpanan Syariah dan RM700.75 bilion di bawah Simpanan Konvensional.

"Ini merupakan cabaran yang perlu dihadapi dalam menguruskan dana yang besar seperti KWSP bagi menjana pulangan pelaburan yang konsisten dan mampan untuk jangka panjang.

"Ini juga merupakan tujuan mengapa kami mempelbagaikan ke pasaran luar negara memandangkan peningkatan nilai aset global telah memberikan peluang kepada kami untuk mengaut keuntungan daripada pasaran dan kelas aset yang berbeza," katanya.

KWSP berkata jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi 2017 adalah sebanyak RM53.14 bilion meningkat 14.13 peratus daripada RM46.56 bilion pada 2016 dan jumlah itu telah meningkat sebanyak 11.90 peratus sejak 2007, dan bersamaan dengan 7.30 peratus pulangan atas pelaburan (ROI).

Samsudin berkata pelaburan KWSP telah memberikan ROI tahunan tiga tahun sebanyak 7.30 peratus dan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan memandangkan KWSP adalah sebuah dana seimbang dengan pendedahan sebanyak 50 peratus terhadap instrumen pendapatan tetap.

Menurut KWSP, pengkreditan dividen 2017 akan dilaksanakan pada Ahad , 11 Feb 2018, dan ahli boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau menerusi aplikasi mudah alihi-Akaun.

Ahli-ahli yang ingin menukar ke Simpanan Syariah 2019 boleh mendaftar sebelum 24 Dis, 2018.

-- BERNAMA