17
Isn, Dis
9 ARTIKEL BARU

Abdul Manan Rakan Rapat Dan Pemimpin Yang Berdedikasi - Najib

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail seorang pemimpin yang banyak memberi sumbangan bukan sahaja kepada parti tetapi kepada rakyat sebagai anggota Parlimen, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata Abdul Manan, 70, telah memberi khidmat dengan penuh dedikasi dan menjalankan tugasnya dengan begitu baik sepanjang perkhidmatannya.

Perdana menteri berkata beliau begitu merasai kehilangan Abdul Manan, apatah lagi anggota Parlimen Paya Besar bagi penggal kedua itu pernah berkhidmat sebagai setiausaha sulitnya sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

"Saya amat mengenalinya dengan rapat dan lama.

"Saya terasa sangat dengan ketiadaan beliau bukan sahaja sebagai anggota Parlimen tetapi sahabat yang begitu rapat dengan saya dan keluarga,"katanya selepas menziarahi jenazah Allahyarham bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Melawati di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Allahyarham Abdul Manan meninggal dunia kira-kira 6.45 petang tadi selepas terjatuh di dalam bilik air di rumahnya di Taman Melawati.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate sebelum Zuhur esok.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau mengenali Allahyarham sejak sama-sama bekerja di bawah Najib sewaktu Najib menjadi Menteri Belia dan Sukan.

"Allahyarham merupakan rakan sepejabat saya ketika beliau jadi setiausaha sulit, saya pula adalah setiausaha politik Datuk Seri Najib."

"Beliau juga bekerja rapat dengan saya sebagai seorang anggota Parlimen yang diberi tanggungjawab tertentu di mana beliau melapor perkara tertentu kepada saya sebagai ketua whip Barisan Nasional," katanya yang turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman.

 

- BERNAMA

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.