19
Rab, Dis
7 ARTIKEL BARU

Raikan Tahun Baharu Cina Dengan Semangat Malaysia - Salleh

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan semangat Malaysia.

"Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina bukan sahaja kepada kaum Cina tetapi juga kepada seluruh rakyat, semoga sambutan diraikan dengan semangat persaudaraan selaku rakyat Malaysia," katanya dalam catatan terkini laman blog beliau sskeruak.blogspot.my.

Salleh yang juga Bendahari UMNO, berkata persefahaman antara semua kaum adalah asas kemerdekaan Malaysia, justeru kaum Cina juga mempunyai hak ke atas negara ini seperti mana kaum Melayu dan selepas sekian lama, sambutan seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Deepavali menjadi sambutan rakyat Malaysia.

"Ketika UMNO merundingkan kemerdekaan negara dengan British pada 1950-an, antara syarat yang diletakkan oleh British sebelum sebarang perbincangan diadakan ialah kaum Cina dan India mesti turut serta dalam perbincangan.

"Sehubungan itu, Parti Perikatan yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC ditubuhkan pada 1952," katanya.

 

Salleh berkata rundingan kemerdekaan bukan mudah dan semua pihak yang terlibat terpaksa berkorban serta berkompromi dalam banyak perkara sehingga akhirnya persetujuan dicapai dan pada Ogos 1957 kemerdekaan diisytiharkan. -- BERNAMA

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.