26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Jemputan Israel Oleh PBB Bukan Kerajaan Malaysia

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR – Penyertaan Israel dalam World Urban Forum ke-9 (WUF9) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini adalah undangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melalui agensinya UN-Habibat.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berkata, jemputan itu tidak dikeluarkan oleh mana-mana pegawai Kerajaan Malaysia kerana undangan itu dibuat oleh Pengarah Eksekutif UN-Habibat.

“Dakwaan menyatakan bahawa kerajaan menjalinkan hubungan dengan Israel melalui forum berkenaan adalah tidak benar. Malah pendirian Kerajaan Malaysia terhadap Israel juga tidak berubah.

“Berikutan dakwaan yang tersebar di media sosial itu adalah tidak benar. Ia berniat jahat dan cubaan untuk mencemar imej negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anifah berkata, selaku tuan rumah kerajaan harus mematuhi perjanjian yang termaktub di mana PBB berhak untuk menjemput mana-mana negara dalam persidangan yang dianjur oleh mereka.

Tambahnya, WUF9 telah diperakui seluruh dunia dan penganjuran di negara ini secara tidak langsung meningkatkan nama Malaysia yang mana lebih daripada 25,000 orang menyertainya termasuk 69 negara.