24
Ahd, Jun
64 ARTIKEL BARU

Berita Palsu, Fitnah Ada Hubung Kait Yang Jelas – Fathul Bari

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR – Bahaya penularan serta penyebaran berita palsu sangat dahsyat malah hubung kait di antara perkara ini dengan fitnah adalah sangat jelas terutama sekali apabila dikaitkan pada akhir zaman, tegas Presiden Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Menurut beliau, terdapat pelbagai hadis yang diriwayatkan oleh Nabi Muhammad (SAW) berhubung masalah komunikasi yang bakal berlaku, malah majoritinya berkisar pada pada akhir zaman yang akhirnya membawa kepada perbuatan fitnah.

“Fitnah itu mempunyai maksud yang sangat luas. Ia tidak tertumpu dan bermaksud kepada berta palsu semata – mata, tetapi Islam melihat perspektif fitnah itu merangkumi semua perkara yang melibatkan berlakunya huru – hara, pergaduhan, pertumpahan darah dan perpecahan.

“Sebab apa? Sebabnya, bermula daripada berita palsu, perkara – perkara ini akan datang,” katanya dalam Program Bual Bicara Xpress Persepsi oleh portal Xpress TV di sini hari ini.

Tambah Fathul Bari, berhubung hak inidividu dalam menulis serta menyampaikan pandangan di laman – laman sosial milik peribadi mereka, beliau berpendapat, dalam konteks agama, Islam mentafsirkan hak sebagai ‘memberikan hak kepada yang berhak’, namun ianya harus diberikan parameter bagi mengukur hak seseorang individu.

Jelasnya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi serta mempunyai sistem raja dan berpelembagaan, maka ada perkara yang boleh dilakukan oleh sesorang individu dan yang sebaliknya.

“Begitu juga dalam Islam. Islam memberi hak kepada setiap individu untuk bercakap. Namun, Islam juga meletakkan satu parameter. Jika kamu ingin bercakap, cakaplah perkara yang baik – baik. Tentunya dari sifat – sifat yang tidak mengaibkan sesiapa, tidak memecah belahkan mana – mana pihak serta tidak mendustai mana – mana pihak. Itu baik.

“Jika tiada perkara – perkara baik, maka diam. Itu hak yang diberikan dalam Islam. Jika ada yang berpendapat bahawa dia berhak berkata apa – apa sahaja, maka itu sudah salah,” ujarnya.

Malah, menurut Pegawai Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri itu, penyebaran berita palsu juga sangat memberi kesan buruk kepada masyarakat malah boleh mengancam keharmonian sesebuah negara.

“Jika pada zaman Nabi dahulu, sesiapa yang didapati menyebarkan hadis – hadis palsu, mereka ini akan dipenjarakan dan dihukum bunuh.

“Perkara yang harmoni boleh jadi huru – hara sepertimana yang berlaku di Syria. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku di Malaysia,” katanya.

Disoal mengenai rancangan kerajaan dalam melaksanakan undang – undang berkaitan berita palsu, beliau berkata, pihaknya sangat menyokong usaha kerajaan dan berharap agar undang – undang ini diangkat kepada perhatian yang penting.

 

Malah, beliau juga mengesyorkan agar pihak yang terlibat untuk mewajibkan setiap akaun media sosial termasuk Facebook, Twitter perlu didaftarkan secara sah supaya semua yang ditulis dan disebarkan oleh akaun – akaun tersebut dipertanggungjawab sepenuhnya oleh individu yang mendaftarnya.