26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Nelayan Malaysia Ditahan Di Indonesia Dibebaskan

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Seorang daripada enam nelayan rakyat Malaysia yang sedang menjalani hukuman penjara telah dibebaskan pada Khamis lalu.

Pembebasan Low Siang Huat, 59, hasil rundingan yang dijalankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia pada November tahun lalu di Kuching Sarawak.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, Siang Huat yang berasal dari Pulau Pinang ditahan pada 16 Februari 2017.

Menurutnya, Siang Huat telah dibebaskan dari Rumah Tahanan Negara Tanjung Pinang dan dibawa menaiki feri menuju Batam sebelum dijadualkan menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Subang.

Katanya, beliau dijangka akan tiba hari ini, dan akan disambut oleh ahli keluarganya.

“Perbincangan antara Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti pada 11 Januari lalu telah membincangkan pembebasan lima orang lagi yang masih ditahan.

“Pihak Indonesia telah memberi jaminan bahawa kesemua nelayan negara ini yang ditahan  akan dibebaskan secara berperingkat mulai bulan Februari 2018.

“Pada masa ini terdapat lima lagi nelayan Malaysia yang masih berada dalam tahanan pihak Indonesia, iaitu;  Chia Kee Chan, 52, dari Sekinchan; Kamaruzaman Awi, 47, dari Dungun dan Abdul Rashid Nik, 53 tahun dari Kuantan; Mahabob Hasimat, 55, dan Leong Bian Seng, 61 tahun,” katanya.

Dr Ismail berkata, kementrian dan Kedutaan Malaysia di Indonesia akan terus menyusul bagi proses pembebasan nelayan berkenaan, untuk membolehkan mereka pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.