24
Ahd, Jun
64 ARTIKEL BARU

Kerajaan Arah NIOSH Keluarkan Kertas Kerja Kabinet Siasat Kes Lemas – Zahid

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menghasilkan kertas kerja Kabinet bagi menangani kejadian lemas di air sehingga meragut nyawa mangsa.

Timbalan Perdana Menteri berkata kertas kerja itu kemudiannya akan dibentangkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot kepada mesyuarat jemaah menteri bagi membincangkan isu berkenaan dengan teliti.

"NIOSH yang dipengerusikan oleh Tan Sri Lee Lam Thye sebelum ini telah cadangkan supaya satu jawatankuasa khas diwujudkan dan saya telah meminta supaya NIOSH sediakan kertas kerja Kabinet supaya dapat dibentangkan ke Kabinet.

"Ini supaya penyelesaian berbentuk jangka panjang dapat dicari. Bukan sahaja di pantai timur tetapi di seluruh negara dan dalam apa juga situasi," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pra pelancaran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 dan Pameran Keselamatan Antarabangsa Asia (Natsec) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes lemas yang sering berlaku sehingga meragut nyawa mangsa.

Sebelum ini, Lee yang juga anggota Majlis Keselamatan Aktiviti Air Kebangsaan mencadangkan antara lain supaya sebuah jabatan bertaraf penuh dibentuk bagi merancang, menguat kuasa, menyusun strategi dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan kejadian lemas di air.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Terbaharu, dalam kejadian petang semalam, lima pemancing hilang dibawa arus deras ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh manakala tiga lagi terselamat.

Mayat tiga mangsa telah ditemui setakat 1 tengah hari ini.

Dalam perkembangan lain, mengenai perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan belum berhasrat membatalkan sebarang perintah berkurung.

"Perintah berkurung ini ditandatangan sendiri oleh saya sebagai Menteri Dalam Negeri.

"Maka pihak Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) kita jalinkan kerjasama bagi menentukan keutamaan untuk menjaga bukan hanya keselamatan di sekitar tanggungjawab Esscom tapi di sekitar 1,700 km di kawasan Esszone dan kawasan lain seluruh negara terutama di Pantai Timur Sabah, " katanya.

 

Beliau berkata keutamaan ini diberikan kerana soal keselamatan bukan sesuatu yang merupakan agenda politik tapi agenda yang berada di atas segala agenda yang lain, kerana soal isu pertahanan adalah satu komitmen kerajaan. -- BERNAMA