24
Ahd, Jun
64 ARTIKEL BARU

Pengorbanan Pasukan Keselamatan Tidak Harus Dilupai

Semasa
Typography

SEREMBAN – Masyarakat tidak seharusnya melupakan jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan dalam memastikan negara ini berada dalam keadaan aman dari anasir-anasir negatif.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana pengorbanan mereka ini amat besar dan tidak ternilai berbanding dengan keamanan yang kita kecapi pada masa kini.

Menurutnya, pasukan keselamatan telah berada di negara ini sebelum negara memperolehi kemerdekan hingga ke hari ini.

“Mereka ini bertugas setiap masa tanpa mengira waktu bagi memastikan negara ini dan rakyat berada dalam keadaan aman serta bebas untuk bergerak ke mana saja.

“Demi negara mereka tinggalkan ahli keluarga ada juga yang terkorban demi memastikan negara ini aman, ada yang kehilangan suami, ayah dan ibu, serta anak. Selaku rakyat Malaysia kita harus menghargai perjuangan mereka,” katanya di majlis Program Kembara Bermotosikal Bagi Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abullah dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Mohamad berkata, dengan adanya tabung sebegini secara tidak langsung ia dapat meringan beban bagi anggota yang telah bersara.

“Saya yakin walaupun sumbangan yang bakal diperolehi tidak begitu besar namun ia dapat membantu mereka untuk menguruskan kehidupan seharian,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, sepanjang kembara di empat negeri ini pihaknya berjaya mengumpul sebanyak RM2.5 juta yang mana ia bermula dari Selangor dan berakhir di Negeri Sembilan.

Katanya, ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab pucuk pimpinan pasukan polis dalam memastikan kebajikan anggota yang telah bersara terbela.

“Acara ini akan diperluaskan lagi ke beberapa negeri lain dan berkemungkinan akan menjadi acara tahunan bagi pasukan polis dalam usaha memastikan kebajikan anggota sentiasa terpelihara,” katanya yang turut mengetuai kembara tersebut.