24
Ahd, Jun
64 ARTIKEL BARU

Dasar Ekonomi Malaysia Terus Diiktiraf Di Peringkat Antarabangsa - PM

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Dasar-dasar ekonomi Malaysia terus mendapat pengiktirafan di peringkat global, termasuk pujian terbaharu daripada pihak Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Baru-baru ini @WTO memuji kejayaan pempelbagaian dan pembaharuan ekonomi kita yang terbukti menyumbang kepada pertumbuhan berterusan negara walaupun berdepan cabaran ketidaktentuan luaran," kata Perdana Menteri menerusi catatan Twitter terbaharu beliau, hari ini.

Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pihak BMI Research pula mengunjurkan bahawa pengguna Malaysia akan terus makmur pada 2018, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan serta kadar inflasi dan pengangguran yang rendah.

"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan!" kata Perdana Menteri dalam catatan berkenaan.

WTO merupakan satu-satunya pertubuhan global antarabangsa yang mengendalikan aspek peraturan perdagangan pelbagai negara.

Pada Sabtu lepas, sebanyak 43 anggota WTO yang menyertai sesi soal jawab pada Kajian Semula Dasar Perdagangan (TPR) Malaysia Ke-7 di Switzerland, memuji negara ini berikutan pencapaian ekonomi, perdagangan berhemat serta dasar ekonominya yang mengagumkan.

Malaysia turut dipuji kerana secara aktif meneruskan keterbukaan perdagangan melalui pembaharuan sepihak, pengaturan perdagangan serantau dan dua hala serta pelaksanaan peraturan pelbagai hala.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata anggota terbabit turut memperakui kejayaan kepelbagaian ekonomi dan pembaharuan ekonomi Malaysia yang telah menyumbang kepada pertumbuhan berterusan walaupun menghadapi pelbagai cabaran luaran.

"Langkah berani untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi minyak dan gula antara lainnya menunjukkan kesediaan Malaysia untuk bergerak ke arah mekanisme berorientasikan pasaran.

 

"Inisiatif mesra perniagaan seperti penambahbaikan kepada Akta Syarikat, juga dialu-alukan kerana ia menyebabkan pengurangan kos menjalankan perniagaan," kata MITI. -- BERNAMA