19
Rab, Dis
7 ARTIKEL BARU

Kerajaan Jangkakan Peningkatan Produktiviti Buruh

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Malaysia menjangkakan peningkatan berterusan dalam produktiviti buruh, terutamanya dengan pelaksanaan Rangka Tindakan Produktiviti Malaysia (RTPM).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, RPTM  bertujuan untuk mengalihkan pendekatan ke arah produktiviti daripada inisiatif yang didorong oleh kerajaan pada peringkat kebangsaan disasarkan kepada sektor awam, pemain industri dan perusahaan individu.

Menurutnya, enam inisiatif keutamaan sedang dilaksanakan di bawah lima teras strategik di peringkat kebangsaan yang memberi tumpuan untuk  membina tenaga kerja masa depan yang memenuhi keperluan yang berubah-ubah di seluruh sektor, memacu digitalisasi dan inovasi melalui penerapan teknologi inovatif.

“Ini akan menjadikan industri lebih bertanggungjawab untuk produktiviti dan hasil, memupuk ekosistem yang teguh bagi menangani kekangan peraturan dan memperoleh mekanisme pelaksanaan yang kuat yang akan menanamkan budaya produktiviti yang lebih kukuh di seluruh ekonomi.

“Sebanyak 43 inisiatif yang digariskan dalam RTPM akan dilaksanakan oleh jawatankuasa yang diketuai oleh ahli dari sektor swasta yang terdiri daripada individu yang berkemahiran tinggi dan khusus.

“Peningkatan dalam produktiviti buruh memerlukan komitmen semua pihak untuk meneruskan langkah struktur dan pembaharuan yang bersesuaian,” katanya.

Mustapa berkata, pada masa ini kerjasama awam-swasta telah dimulakan, di mana kerajaan memainkan peranan yang memberangsangkan, sementara sektor swasta bertanggungjawab terhadap usaha pelaksanaan dalam sembilan sektor utama.

Beliau menyatakan, sektor yang dikenal pasti sebagai penghasilan produktiviti adalah runcit, makanan dan minuman, agrofood, bahan kimia serta produk kimia, elektrik termasuk elektronik, mesin dan peralatan, penjagaan kesihatan swasta, perkhidmatan profesional, teknologi maklumat dan komunikasi dan pelancongan.

Mustapa berkata, kejayaan dalam memacu produktiviti yang lebih baik dalam sembilan sektor akan membuka jalan bagi pertumbuhan produktiviti yang lebih mampan merentasi ekonomi, termasuk untuk perusahaan kecil dan sederhana.

"Walaupun pertumbuhan produktiviti yang mantap sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masih dalam proses yang sedang berjalan, dan kita perlu berbuat lebih banyak untuk meningkatkan produktiviti yang akan menjadi kunci kepada Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

“Pada tahun 2017, pertumbuhan produktiviti buruh Malaysia meningkat 3.6 peratus kepada RM81,039 daripada RM78, 244 pada 2016,” katanya.