23
Sel, Okt
29 ARTIKEL BARU

Rumah Pangsa Taman Segar Akan Mendapat Rumah Gantian Baharu – PM

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Sejumlah 1,200 keluarga di rumah pangsa Taman Segar, Cheras akan mendapat rumah gantian baharu yang lebih besar dan selesa tanpa sebarang bayaran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan akan melaksanakan projek itu dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh tiga tahun bagi memastikan penduduk memiliki rumah berkualiti yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

"Hari ini, saya dapat meninjau keadaan yang ada sangkut paut dengan soal kemiskinan di bandar di mana keadaan rumah pangsa ini terlalu usang dan memerlukan kemudahan yang lebih baik lagi.

"Alhamdulillah, usaha kerajaan dan DBKL, satu projek gantian akan dilaksanakan dan dalam tempoh tiga tahun lagi setiap penghuni yang kini memiliki kawasan apartmen seluas 500 kaki persegi akan menerima apartmen baharu seluas 800 kaki persegi dalam keadaan yang jauh lebih berkualiti dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang dan gimnasium," katanya.

Najib berkata demikian dalam video ucapan ketika melakukan tinjauan di kawasan itu hari ini yang dimuat naik menerusi laman Facebook dan Twitter beliau.

"Saya amat menyokong projek ini sebagai satu lagi bukti usaha kerajaan supaya semua lapisan rakyat terutama sekali kumpulan B40 akan mendapat pembelaan sebaik mungkin," katanya.

Menerusi Twitternya pula, Najib melahirkan rasa kecewa apabila mendengar pihak yang diberi mandat menjaga kebajikan penduduk di kawasan itu tidak mengambil sebarang tindakan bagi menangani masalah rumah yang usang itu.

"Kita akan bangunkan semula, dalam tiga tahun, Segar Residence akan gantikan rumah penduduk daripada 500 kaki persegi kepada 800 kaki persegi, siap dengan kemudahan asas," katanya.

 

Najib turut memuat naik beberapa keping gambar disertai video yang memaparkan beliau beramah mesra dengan penduduk di kawasan terbabit ketika tinjauan itu. -- BERNAMA