18
Sab, Ogs
62 ARTIKEL BARU

Kerajaan Pastikan Tiada Golongan Tercicir Dalam Kerancakan Ekonomi – Najib

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR – Di sebalik pengiktirafan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap ekonomi Malaysia yang disifatkan berdaya tahan dan mencatatkan prestasi kukuh, kerajaan akan memastikan tiada siapa yang akan tercicir dalam arus pembangunan negara, demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, konsep kerjasama dan jalin usaha antara semua pihak khasnya kerajaan dengan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yayasan serta antara rakyat dan kerajaan, amat penting dikekalkan bagi memastikan setiap rakyat menerima manfaat di sebalik kemakmuran yang dikecapi hari ini.

Namun, katanya, kerajaan amat memerlukan sokongan dan dukungan daripada organisasi atau pertubuhan sosial bagi membantu membantu menangani pelbagai isu membabitkan rakyat, termasuk kemiskinan atau kurang bernasib baik kerana ia melangkaui aspek agama serta budaya.

"Anda mesti menghayati dan merasai bahawa anda adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia. Kita sedang menuju ke arah TN50 (Transformasi Nasional 2050).

"Hari ini, IMF dalam laporannya menyatakan ekonomi Malaysia berada di landasan tepat ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.

"Ya, saya gembira dengan laporan ini, tetapi saya tidak mahu menganggap ia sebagai sesuatu yang melekakan. Saya hendak memastikan setiap rakyat dalam masyarakat, bantu mereka (yang kurang bernasib baik). Ini falsafah yang saya pegang dan percaya.

"Saya percaya tidak ada sesiapa yang patut tercicir dalam pembangunan negara. Hal ini melangkaui elemen agama dan budaya. Pembangunan (yang dikecapi negara) mesti dirasai setiap rakyat dan kita perlu ada kerjasama dengan GLC, sektor swasta dan kita gabungkan semua sumber ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Jom Bersama Datuk Seri Najib Tun Razak bersama kakitangan CIMB Bank Berhad (CIMB) dan merasmikan Program Yayasan Pembangunan Gimnastik CIMB serta Meraikan Wanita Dalam Sukan di Menara Bumiputera Commerce, Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Dalam pada itu, Najib turut mngumumkan setiap kakitangan wanita Kumpulan CIMB yang mempunyai anak di bawah lima tahun boleh bekerja dari rumah sehari dalam seminggu.

Beliau berkata, pengumuman itu sejajar dengan Hari Wanita Sedunia yang disambut hari ini.

 

"Tahniah kepada CIMB. Diharap organisasi lain turut mengikut langkah yang diperkenalkan ini," katanya.