24
Kha, Mei
873 ARTIKEL BARU

MH370 : Laporan Terperinci Bakal Dikeluarkan Selepas Pencarian Terkini Selesai

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Laporan penyiasatan terperinci mengenai kehilangan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 akan dikeluarkan selepas usaha pencarian terkini selesai iaitu empat tahun selepas pesawat malang itu hilang dari skrin radar, kata pasukan penyiasatan.

Terbitan laporan penyiasatan terperinci iaitu laporan Keselamatan, berdasarkan maklumat sedia ada pada masa ini telah digantung sementara menunggu hasil usaha pencarian terkini kerana sebarang bukti baharu yang dijumpai mungkin mempunyai kesan besar ke atas penyiasatan.

"Jika pesawat udara itu ditemui, Pasukan Penyiasatan akan melakukan penyiasatan lanjut. Jika pesawat tersebut tidak ditemui dan keputusan diambil untuk menghentikan pencarian, Pasukan Penyiasatan akan menyambung semula persiapan laporan dan mengeluarkannya dalam bulan-bulan yang akan datang," kata Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia untuk menyiasat kehilangan penerbangan MH370 dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 11 Januari, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa di bawah perjanjian dengan syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited, misi pencarian MH70 akan disambung semula pada pertengahan Januari dengan kapal Seabed Constructor menjalankan pencarian merangkumi kawasan seluas 25,000 km persegi dalam tempoh 90 hari, dan dijangka berakhir pada Jun.

Misi utama kapal tersebut ialah untuk mencari bangkai, dan/atau kedua-dua perakam penerbangan, perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan dan dalam operasi pencarian yang dijalankan berdasarkan terma "No Cure, No Fee", pembayaran hanya akan dibuat apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemukan dan disahkan oleh pihak ketiga.

Kenyataan Interim ke-4 juga menyatakan bahawa serpihan pesawat yang berkemungkinan berasal daripada MH370 masih lagi dijumpai di sekitar pantai tenggara benua Afrika dan kepulauan-kepulauan berdekatan.

Kenyataan itu berkata, ringkasan dikemaskini serpihan yang dijumpai telah diterbitkan pada 30 April 2017 bersama dengan laporan pemeriksaan serpihan dan dokumen-dokumen ini terdapat dalam laman web Kementerian Pengangkutan dan juga Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Menurut Kenyataan, pada masa penulisan kenyataan ini, seperti yang dilaporkan dalam Kenyataan Interim yang dikeluarkan pada 2017, hanya tiga butiran serpihan telah disahkan sebagai berasal daripada MH370 iaitu flaperon kanan, sebahagian daripada outboard flap belah kanan dan sebahagian daripada outboard flap belah kiri.

"Beberapa serpihan lain telah ditentusahkan sebagai hampir pasti berasal daripada MH370

termasuk beberapa item dalaman kabin. Terdapat aktiviti berterusan untuk mendapatkan semula dan memeriksa sebarang serpihan baharu yang dijumpai," kata kenyataan itu dan menambah sehingga kini, bangkai utama pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui.

Penerbangan MH370 yang membawa sejumlah 239 orang (227 penumpang dan 12 anak kapal) hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

 

Australia, Malaysia dan China secara bersama menggantung usaha pencarian MH370 selama dua tahun di bawah permukaan laut pada Januari tahun lepas. Tiada tanda-tanda pesawat tersebut ditemukan di kawasan pencarian meliputi 120,000 km persegi di selatan Lautan Hindi. - BERNAMA