18
Sab, Ogs
62 ARTIKEL BARU

Zahid Gesa Rakyat Bekerjasama Dengan Kerajaan Bendung Elemen Negatif

Semasa
Typography

SEREMBAN - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa rakyat untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membendung elemen-elemen negatif yang boleh menghancurkan negara.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh semua pihak akan membolehkan Malaysia merealisasikan aspirasi Wawasan 2020.

"Hasrat saya dan kementerian saya adalah tidak lain untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas dari segala ancaman supaya kita semua boleh hidup dalam aman dan harmoni," kata beliau pada kempen 'Bersatu Memerangi Jenayah, Keganasan dan Dadah' anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Turut berangkat ialah Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom Abdullah. Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Dr Lee Lam Thye dan anggota Jawatankuasa Eksekutif Projek Khas MCPF Datuk Seri Johnny Ch'ng Ewe Gee juga hadir.

Ahmad Zahid yang juga Presiden MCPF berkata program malam ini memberi manfaat kerana ia adalah sebagai platform yang baik untuk menyampaikan hasrat kerajaan kepada rakyat.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada penganjur program ini kerana berusaha membantu kerajaan dalam membentuk komuniti yang sihat dan selamat.

Program ini sangat bermakna dan harus dipuji kerana peserta terdedah kepada hasrat utama kementerian melalui pameran keselamatan yang diadakan.

Golongan muda adalah pewaris negara, oleh itu fikiran mereka perlu dipenuhi dengan maklumat yang tepat berhubung isu keselamatan dalam negara, kata beliau.

Sementara itu, sempena program malam ini, Sultanah Kalsom berkenan melancarkan keanggotaan Kelab Diraja Antarabangsa SAS yang eksklusif.

 

- BERNAMA