18
Sab, Ogs
62 ARTIKEL BARU

Mansuh GST Ibarat Hancurkan Masa Depan Negara

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Janji manis yang ditabur Pakatan Harapan diketuai DAP dalam manifestonya termasuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) boleh dianggap sebagai tindakan ‘kamikaze’ sekali gus menghancurkan masa depan negara.

Menurut Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob, GST merupakan sistem kutipan cukai tidak langsung paling efisien dan efektif serta menutup kelemahan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Jelas beliau dalam laporan yang disediakan oleh Utusan Malaysia, hasil daripada kutipan GST juga telah banyak membantu pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi negara.

“Jadi mengapa kita perlu mengundur ke belakang semula dengan memansuhkan GST dan memperkenalkan semula SST sedangkan SST bukanlah satu cukai yang baik untuk ekonomi.

“Kebanyakan negara di dunia juga telah lama mengamalkan GST dan kadar tersebut juga telah dinaikkan secara berperingkat seperti yang dilakukan Singapura kerana ia jelas merupakan punca pendapatan kerajaan yang paling besar selepas cukai pendapatan,” katanya dipetik media tempatan.

Tambah Abu Sofian, pengenalan GST yang dikatakan membebankan rakyat terutamanya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) adalah tidak tepat kerana kebanyakan barangan yang dikenakan cukai ialah barangan bukan asas atau keperluan harian.

“Kebanyakan barangan yang dikenakan cukai terdiri daripada barangan yang tidak diperlukan sangat oleh rakyat biasa kerana barangan tersebut merupakan barangan mewah untuk golongan terlebih mampu.

“Malah, kutipan GST ke atas barangan yang bukan keperluan asas ini telah memberi sumbangan besar hingga boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara dalam bentuk fizikal dan sosial,” katanya.

Untuk rekod, GST yang telah diperkenalkan sejak 1 April 2015 pada kadar enam peratus telah memberi sumbangan besar kepada ekonomi dengan menyumbang RM41.2 bilion pada tahun 2016 dan menyasarkan RM42 bilion tahun lalu.

Cukai itu juga bertindak sebagai platform bagi menstabilkan keperluan penduduk serta merencana kepentingan masa depan negara. Jika tidak, mana mungkin 160 negara seluruh dunia termasuk United Kingdom (UK), Jepun, India, Perancis, Korea Selatan dan Indonesia mempunyai GST atau cukai seumpamanya dikenali sebagai cukai nilai tambah (VAT).

Baru-baru ini, Singapura turut mengumumkan akan menaikkan kadar GST kepada sembilan peratus secara berperingkat bermula tahun 2021 hingga 2025 berbanding tujuh peratus ketika ini.

 

Negara pengeluar minyak terbesar dunia, Arab Saudi juga telah memperkenalkan VAT bagi mengimbangi lebihan perbelanjaan kerajaannya selain tidak mahu bergantung lagi dengan sumber minyak yang selama ini memberi kemewahan kepada rakyatnya.