18
Sab, Ogs
62 ARTIKEL BARU

Gempa Ranau: Kerajaan Pastikan Bantuan Sentiasa Tersedia - PM

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan bantuan sentiasa tersedia berikutan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan Ranau, Sabah malam tadi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Terima berita gempa bumi di Ranau, saya dimaklumkan setakat ini tiada laporan kecederaan.

"Saya harap semua di kawasan terkesan ambil langkah berjaga-jaga, kerajaan akan pastikan bantuan sentiasa tersedia," katanya menerusi catatan di laman Twitter beliau, hari ini.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan semalam memaklumkan gempa bumi sederhana berlaku di Ranau pada 9.06 malam di lokasi 6.1 utara dan 116.6 timur namun tiada ancaman tsunami.

Antara kawasan yang turut terkesan dengan gegaran tersebut ialah Kota Kinabalu, Kundasang, Penampang, Tuaran, Kudat dan Kota Marudu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

 

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah hari ini, operasi menyelamat yang dijalankan di Gunung Kinabalu tamat kira-kira pukul 4.30 pagi melibatkan 239 orang, termasuk 130 pendaki di Laban Rata Resthouse di Panalaban pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut. -- BERNAMA