23
Isn, Apr
913 ARTIKEL BARU

Najib Rasmi Taman Rekreasi 99 Wonderland Park

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini merasmikan Taman Rekreasi 99 Wonderland Park di Tasik Sri Murni, di sini, sebuah mercu tanda rekreasi yang unik dan baharu di ibu kota.

Selepas gimik perasmian di pintu masuk utama, Perdana Menteri dibawa mengelilingi sepanjang 2.3 kilometer trek tasik rekreasi berkenaan.

Beliau turut menyaksikan persembahan bunga api bersama-sama kira-kira 10,000 pengunjung, sebelum beredar pulang setelah meluangkan masa selama lebih sejam.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Pengerusi Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff B.K. Lee.

Pembangunan taman rekreasi seluas kira-kira 8.9 hektar oleh Kumpulan JL99 itu mengambil masa kira-kira dua tahun dengan kos sebanyak RM18 juta.

Dibangunkan daripada sebuah kolam tadahan terbiar, lokasi itu kini berubah wajah dengan dihiasi lampu-lampu LED pada waktu malam.

Antara tarikan taman rekreasi itu ialah 'hatchery & incubator room', 'deer yard', 'ostrich farm', 'bird square', 'rabbit house', 'duck lagoon' dan binatang-binatang eksotik serta kemudahan-kemudahan seperti Sky Fountain, Magical Bridge, T-Rex Ring, Golden Waterfall, 12 Zodiac Zone dan 99 Cruise.

Taman Rekreasi 99 Wonderland Park akan dibuka bermula dari pukul 6 petang-9.30 malam (Isnin-Khamis) dan pukul 6 petang-10 malam (Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum) dan masuk adalah percuma selama sebulan bermula hari ini untuk kesemua warganegara Malaysia yang memegang MyKad.

Lee dalam satu kenyataan berkata pelaksanaan projek seperti ini merupakan salah satu contoh di mana kerajaan sentiasa prihatin terhadap rakyat Malaysia.

"Kumpulan JL99 akan terus memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan untuk melaksanakan projek seperti ini untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di sekitar kawasan ini," katanya.

 

- BERNAMA