23
Isn, Apr
913 ARTIKEL BARU

Krisis Air : Peniaga Rugi RM100 juta, Gesa Tubuh Unit Tindakan Khas

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Lebih RM100 juta nilai kerugian dianggarkan dialami oleh para peniaga di sekitar Lembah Klang gara-gara krisis air pada minggu lalu sehinggakan mereka terpaksa menghentikan operasi seketika.

Dilaporkan, anggaran nilai itu diperoleh Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) hasil penelitian dan bertemu sendiri dengan para peniaga terbabit.

Sehubungan itu, Presiden CASSA, Datuk Dr. Jacob George dipetik berkata,  satu unit tindakan khas wajar ditubuhkan bagi menangani isu gangguan air seterusnya mengelak peniaga da­ripada mengalami kerugian serupa pada masa depan.

Katanya, walaupun gangguan bekalan air sering berlaku, namun sehingga kini tiada satu jalan penyelesaian diambil sama ada oleh kerajaan PKR Selangor mahupun Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) bagi mengatasinya.

 “Minggu lepas, CASSA telah menghantar satu usul kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk merayu baginda mendirikan unit tindakan khas yang terdiri daripada golongan pakar, ahli CASSA dan juga pegawai daripada kerajaan Pusat serta negeri.

“Isu ini bukannya baru terjadi dan sepatutnya boleh diselesaikan dari dulu lagi. Perkara ini jelas menjejaskan rutin harian penduduk di sekitar kawasan yang terjejas sehingga ada yang sanggup ‘lari’ ke Seremban dan sempadan Perak semata-mata untuk mencari air,” katanya dipetik Utusan Malaysia semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai gangguan bekalan air yang memberi kesan teruk kepada lebih dua juta penduduk di sekitar Lembah Klang akibat penyelenggaraan berjadual di Loji Rawatan Air Su­ngai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Sharin Darus mencadangkan kerajaan PKR Selangor menyerahkan tanggungjawab menguruskan air kepada kerajaan Pusat yang dilihat lebih cekap dalam menangani isu berkenaan.

“Sampai bila peniaga nak alami perkara yang sama kerana isu air ini tidak pernah selesai? Kalau kerajaan negeri tidak mampu menyelesaikan isu ini, jalan terbaik adalah serahkan sahaja kepada pihak kerajaan Pusat untuk dikendalikan.

“Kami juga berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan kerana ia banyak menjejaskan pendapatan para peniaga dan penjaja,” katanya.