17
Rab, Okt
62 ARTIKEL BARU

Bandar Baru Sendayan Bakal Jadi Bandar Satelit Lembah Klang - PM

Semasa
Typography

SEREMBAN – Kerajaan akan menempatkan semula lapan pangkalan udara secara berperingkat bagi mewujudkan prasarana Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang lebih sistematik dan berpusat bersesuaian dengan Pelan Transformasi Air Force Next Generation (AFNG).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pangkalan Udara Sendayan (PU Sendayan) adalah satu daripadanya yang  menempatkan markas dan pasukan TUDM yang sebelum ini beroperasi di PU Kuala Lumpur.

“PU Kuala Lumpur telah mencatatkan pelbagai sejarah terutama membabitkan kemerdekaan namun telah berpindah ke PU Sendayan kerana peredaran masa, Kuala Lumpur kini dipenuhi dengan bangunan pencakar langit soal keselamatan penerbangan menjadi keutamaan, sekali gus menjadikan PU Kuala Lumpur tidak  sesuai.

“Kerajaan boleh menggunakan PU Kuala Lumpur untuk dibangunkan sebagai Bandar Malaysia di tanah seluas 202.3 hektar, sekaligus menjadi pembangunan paling ikonik untuk Malaysia. Kita bayangkan tengah bandar, sudah tentu akan menjadi satu pembangunan yang akan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.  

“Inilah sumbangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada negara kita yang banyak ditohmah, dimomok dan sebagainya, untuk menjadikan Bandar Malaysia sebagai satu projek yang boleh menjadi kenyataan," katanya sambil menjelaskan pembinaan PU Sendayan ditanah seluar 750 ekar dan menelan belanjan RM808 juta.

Turut hadir Menteri Pertahanan yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang.

Najib berkata, 1MDB telah membelanjakan RM2.7 bilion memindahkan aset-aset TUDM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke lapan pangkalan baharu.

Menurutnya, beliau yakin dengan pemindahan ini akan menjadikan Bandar Baru Sendayan sebagai bandar satelit kepada Kuala Lumpur dan Lembah Klang dan penghuni di kawasan berkenaan akan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Selain  itu katanya, jangan mudah mendengar apa yang diperkatakan oleh pihak tertentu memburuk kerajaan supaya rakyat marah sehingga kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan tidak disebut.

“Kerajaan sentiasa bersedia menerima kritikan daripada mana-mana pihak tetapi jangan hanya membuat tuduhan tanpa menceritakan kebaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan.

“Esok Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melancarkan dua kem PDRM yang baru di Subang, Selangor bernilai RM800 juta yang dibiayai oleh 1MDB. Jika kita terus diberi mandat sedikit masa lagi perubahan dan transformasi yang lebih besar akan menjadi kenyataan untuk negara kita," katanya.