17
Rab, Okt
62 ARTIKEL BARU

Sultan Selangor Dukacita Media Sosial Disalahguna Untuk Sebar Berita Palsu

Semasa
Typography

SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila media sosial dan portal berita disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab, untuk menyebarkan berita palsu sehingga boleh mengundang pepecahan dalam kalangan rakyat.

Ketika bertitah merasmikan Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam ini, baginda turut mengingatkan rakyat Selangor supaya tidak terpedaya dengan penyebaran berita palsu dan berunsurkan fitnah itu.

"Suasana kini semakin mencabar apabila berita palsu atau maklumat palsu ditulis secara kemas dan menarik serta mengandungi unsur-unsur logik yang disebarkan secara aktif menerusi portal berita dan media sosial sehingga ia dapat menyakinkan dan mempengaruhi masyarakat.

"Ia kemudian dikongsi dan diviralkan secara meluas, jika keadaan ini berterusan dalam masyarakat beta bimbang rakyat akan terdedah kepada pepecahan sehingga boleh menghancurkan negara," titah Sultan Sharafuddin.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga hadir.

Baginda bertitah, menerusi medium internet, fitnah juga boleh direka dengan sewenangnya dan disebarkan dalam tempoh yang singkat.

"Beta khuatir sekiranya kegiatan tidak bermoral seperti fitnah ini terus menular, ia akan menjejaskan bukan sahaja kehidupan harian rakyat, malah pentadbiran sesebuah kerajaan.

"Ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa fitnah berupaya memusnahkan sesebuah empayar yang besar dan menjatuhkan sesebuah negara yang maju," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menyeru seluruh umat Islam di negeri ini supaya bersatu-padu dan berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah selain menjauhkan diri daripada terjebak dalam penyalahgunaan internet.

"Ingin beta tekankan di sini bahawa hukum fitnah dalam Islam adalah haram dan termasuk dalam dosa yang tidak mendapat keampunan oleh Allah kecuali mereka memohon maaf kepada orang yang difitnah terlebih dahulu," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa sukacita apabila Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mempunyai dewan khas untuk majlis ilmu yang secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada umat Islam di Selangor.

Titah baginda, dengan adanya dewan itu, majlis ilmu dapat berjalan dengan lancar tanpa menganggu jemaah untuk beribadat dalam masjid berkenaan. -- BERNAMA