23
Sab, Jun
78 ARTIKEL BARU

Ekonomi Negara Perlu Berkembang Pesat Bagi Memperkasa Kesejahteraan Rakyat - PM

Semasa
Typography

LANGKAWI - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha memperkasakan kesejahteraan rakyat memerlukan perkembangan ekonomi yang baik bagi memastikan hasil yang diperoleh negara dapat terus melonjakkan kesejahteraan mereka.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata kerajaan perlu memberi penekanan terhadap aspek pemerkasaan rakyat dan usaha memakmurkan ekonomi negara ini kerana ia saling berhubung kait antara satu sama lain.

"Memacu ekonomi negara bererti bahawa memperoleh hasil dan dana, bila hasil dan dana bertambah, kita boleh mengagihkan kepada rakyat, barulah boleh kita masuk bab bagaimana kita boleh melonjakkan lagi kesejahteraan rakyat.

"Kalau kita buat sesuatu yang akhirnya menjejaskan ekonomi sama ada hari ini dan akan datang, yang terima kesan buruknya adalah rakyat," katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Perdana menteri berkata oleh itu sekiranya menjanjikan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap ekonomi negara, ia boleh menyebabkan rakyat yang akan menanggung akibat buruk daripada tindakan berkenaan.

Mengambil contoh cadangan pemansuhan semua tol dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), Najib mempersoalkan tindakan itu kerana ia memerlukan ganti rugi sebanyak RM380 bilion jika tol dimansuhkan di negara ini.

"Kalau pembangkang kata dia akan memansuhkan semua tol di dalam negara kita, tetapi anehnya bapa tol itu zaman dia (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang buat tol, bukan zaman saya, zaman saya mengurangkan tol, zaman dia tambah tol.

Habis sekarang dia pula nak mansuhkan tol. Walhal nak mansuhkan tol, ganti ruginya RM380 bilion, mana nak dapat RM380 bilion ini, bukan sikit fulusnya, masuk akal ke tidak, tidak masuk akal, tak rasional," katanya.

Perdana menteri berkata disebabkan itu, tidak ada satu pun rating agensi seperti Bank Dunia mahupun Bloomberg memberikan penilaian positif kepada manifesto pembangkang itu malah mengatakan ia tidak realistik dan akan menjejaskan eknomi negara.