23
Isn, Apr
913 ARTIKEL BARU

Mutalif Lapor Polis Difitnah Beri Bantuan Kepada 'Warga Bangladesh’

Semasa
Typography

PETALING JAYA – Naib Ketua UMNO Petaling Jaya Selatan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim hari ini tampil membuat laporan polis atas dakwaan berita palsu terhadap satu video yang tular di laman sosial kononnya beliau memberi bantuan kepada warga asing bagi meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke – 14 akan datang.

Beliau yang dipercayai bakal menjadi calon Barisan Nasional (BN) membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya, di sini bersama – sama individu warganegara Malaysia yang telah difitnah sebagai warga asing berbangsa Bangladesh.

Dalam laporannya, Mutalif menyebut bahawa pada hari kejadian, 10 April lalu beliau telah pergi ke bengkel mangsa, Azmi Abdul Malik,41, di Taman Sri Manja yang dilaporkan telah terbakar setelah mendapat laporan bagi memberi bantuan kepada mangsa dan keluarga.

“Saya mendapat panggilan daripada Mohd Helmi yang juga merupakan sepupu mangsa yang bertanyakan sekiranya saya dapat membantu mangsa, maka saya turun.

“Bila saya turun, saya melihat keadaan sangat menyedihkan kerana mangsa telah mengusahakan bengkel tersebut selama 9 tahun. Dan juga mempunyai tiga orang anak yang turut mengalami pelbagai jenis penyakit serius,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mutalif, dalam pada itu turut menyatakan bahawa beliau berasa sangat terkilan dan sedih apabila ada pihak tidak bertanggungjawab telah memfitnah beliau sebagai membantu seorang warga asing berbangsa Bangladesh walaupun pada dasarnya beliau hanya mahu membantu mangsa meringankan beban mereka.

Beliau, bagaimanapun memberitahu bahawa video yang dimuatnaik ke dalam laman Facebook miliknya telah digunapakai oleh pengguna Facebook lain yang menggunakan nama Fudzail, yang difahkan seorang penulis portal berita Selangor Kini dan Leong Peng Kong dengan disertakan kapsyen yang ternyata fitnah termasuk beliau memberikan bantuan kepada warga asing.

“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah mewartakan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan berkuatkuasa pada 11 April iaitu semalam.

“Dan, pada hari ini, 12 April 2018, saya boleh katakana bahawa saya adalah mangsa pertama difitnah. Jadi, saya merayu kepada seluruh rakyat Malaysia untuk tidak mereka – reka cerita yang tidak benar ,” katanya.

Sementara itu, mangsa, Azmi yang turut hadir pada sidang media tersebut terkilan kerana difitnah sebagai warga Bangladesh dan meminta agar rakyat Malaysia untuk tidak terus berbuat demikian.

“Jika tidak dapat membantu saya, saya minta agar jangan mem’buntu’kan saya kerana saya mempunyai keluarga dan juga perkara yang perlu saya utamakan.

“Saya sangat terkilan dengan apa yang terjadi (penularan video) semalam, saya telah berusaha untuk memajukan diri saya sendiri, tetapi apabila ada yang cuba membantu saya, ada pula pihak yang cuba mem’buntu’kan saya dengan ayat – ayat menyedihkan. Saya harap agar perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi,” katanya dengan nada sebak.