15
Rab, Ogs
52 ARTIKEL BARU

Perkhidmatan e-hailing Wajib Ikut Peraturan Sama Seperti Teksi - Najib

Semasa
Typography

SERDANG - Mulai 6 April lepas, semua pemandu e-hailing dan kereta sewa diwajibkan melalui syarat dan peraturan sama dengan pemandu teksi bagi mewujudkan persaingan sama rata antara perkhidmatan tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata peraturan tersebut termasuk saringan latar belakang, kesalahan trafik, kesihatan, keperluan latihan dan pemeriksaan kenderaan berkala seperti yang perlu dilalui oleh pemandu teksi.

"Saya sedar bahawa pemandu teksi menghadapi banyak rintangan, dugaan dan cabaran. Saya sedar pendapatan pemandu teksi sedikit sebanyak terjejas dengan kewujudan perkhidmatn e-hailing di dalam negara kita."

"Satu perkhidmatan yang dituntut oleh rakyat (e-hailing) tetapi kita perlu melakukan sesuatu melalui intervensi kerajaan supaya periuk nasi pemandu teksi tidak terjejas," katanya pada majlis penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di sini hari ini.

Majlis yang dihadiri lebih 10,000 pemandu teksi dari seluruh negara itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri dan pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Najib berkata kertas kabinet mengenai peraturan baharu bagi perkhidmatan e-hailing itu dibentangkan oleh Nancy dan SPAD dan diluluskan oleh jemaah menteri pada 6 April lepas.

"Saya telah arahkan penguatkuasaan melalui gazetnya dibuat pada hari yang sama," katanya dengan disambut tepukan gemuruh pemandu teksi yang hadir.

Dalam pada itu, rata-rata pemandu teksi yang ditemui Bernama menyokong langkah kerajaan menguatkuasakan peraturan tersebut supaya perkhidmatan e-hailing dapat dikawal selia sama seperti pekhidmatan teksi.

Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan pemandu-pemandu teksi pada Majlis Penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia di MAEPS Serdang hari ini.

Ali Tahar, 58, berkata pendapatan pemandu teksi terutamanya di Kuala Lumpur terjejas teruk akibat kewujudan perkhidmatan e-hailing sejak beberapa tahun lepas sedangkan pemandu perkhidmatan tersebut tidak perlu melalui peraturan ketat seperti mereka.

"Dulu saya bawa teksi eksekutif (biru) tetapi saya terpaksa pulangkan balik sebab tidak mampu membayar hutang RM13,000. Sekarang saya berkongsi dengan isteri saya yang membawa Teksi 1Malaysia," katanya.

Isterinya Salwa Samion, 48, bagaimanapun berkata penguatkuasaan peraturan baharu itu perlu telus selain mewajibkan pemandu perkhidmatan e-hailing menampal pelekat pengenalan pada kenderaan mereka sama seperti teksi.

"Di bawah peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), teksi dikira sebagai kenderaan perdagangan kerana bawa penumpang. Tetapi e-hailing adalah kereta persendirian jadi perlu ada pelaksanaan seragam seperti teksi," katanya.

Noorhisham Mohamad, 32, pula berkata beliau terpaksa menjual sebuah daripada dua teksinya untuk membeli kereta baharu dan menjalankan perkhidmatan e-hailing sejak lapan bulan lepas berikutan pendapatan yang terjejas akibat kemunculan perkhidmatan tersebut.

"Jadi ketika ini saya bergilir-gilir membawa teksi dan Uber bagi mengimbangi pendapatan saya. Perbezaan pendapatan memang jauh berbeza berbanding ketika saya membawa teksi sahaja," katanya.

Walaupun terlibat dalam perkhidmatan e-hailing, Noorhisham bagaimanapun menyokong peraturan baharu itu supaya perkhidmatan tersebut dapat dikawal selia dengan lebih berkesan.