14
Jum, Dis
15 ARTIKEL BARU

Program Jualan Sentuhan Rakyat Meringankan Beban

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Program Jualan Sentuhan Rakyat yang telah diadakan buat pertama kalinya di PPR Kg.Baru Air Panas Setapak, Kuala Lumpur semalam (Ahad 15 April 2018) mendapat sambutan positif oleh penduduk setempat.

Ini adalah kerana penduduk di kawasan tersebut dapat membeli pelbagai jenis barang keperluan harian yang membabitkan lebih 25 jenis, diantaranya; beras, ayam, sayur-sayuran, gula, tepung, detergent baju, meehoon kering, tin sardin dan susu di mana harganya adalah lebih rendah berbanding pasaran.

Tinjauan KLXpress mendapati rata-rata penduduk berpuas hati dengan tawaran yang cukup berbaloi dan menyifatkan program itu adalah salah satu langkah baik yang dilakukan oleh kerajaan dan berharap jualan seperti itu akan diteruskan.

“Bolehlah… ia dapat membantu kos… kirakan baiklah sebab banyak orang susah,  jadi dengan ini, ia memudahkan orang di sini. Tidak payah kami (penduduk) berjalan jauh untuk ke kedai.

“Kalau boleh juga, kerapkanlah program ini sebab kami memerlukan barang-barang keperluan ini setiap hari,” kata Ketua Masyarakat Cina Penduduk PPR Kg Baru Air Panas Setapak, Hong Eng Hou.

Selain itu, Eng Hou yang berusia 70 tahun turut berasa gembira dengan program seperti ini kerana ia dapat merapatkan silaturrahim antara semua kaum.

“Dengan program macam ini, ia dapat menyatukan semua penduduk di sini. Ketiga-tiga bangsa; Melayu, Cina dan India dapat bersama,” kata warga emas itu dengan senyuman yang lebar di mukanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Sofia Oktiyanti menyatakan bahawa dia sangat berpuas hati dengan barangan yang dijual kerana harganya yang rendah dan juga kualitinya yang baik.

“Kalau dekat luar, harga ayam sekilo biasanya dalam 9 atau 10 Ringgit (Ringgit Malaysia). Tapi dekat sini seekor ayam baru 5 Ringgit. Memang berbaloilah beli kat sini,” katanya.

Program Jualan Sentuhan Rakyat adalah salah satu inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha untuk membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah bagi mengurangkan kos hidup.

Difahamkan, setakat ini,  lebih 250 Program Jualan Sentuhan Rakyat 2018 telah dijalankan di seluruh Negara dengan kehadiran seramai kira-kira 1.5 juta pengujung.

 

 

ZSAR KZM

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.