25
Jum, Mei
851 ARTIKEL BARU

Jangan Terpengaruh Mesej Cuba Timbul Suasana Panik Saat Akhir - SPR

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR – Berikut adalah kenyataan penuh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah:

PERJALANAN PROSES PENGUNDIAN.

1. Sehingga jam 1.30 petang ini proses pengundian bagi PRU-14 ini telah berjalan lancar dan ramai pengundi memilih untuk keluar awal pagi.

2. Sehingga Jam 1.00 PETANG, Peratusan Keluar Mengundi adalah 55%.

3. Didapati berlaku kesesakan di beberapa Pusat Mengundi berikutan pengundi keluar serentak diawal pagi, namun proses mengundi telah berjalan lancar.

4. Saya berharap dengan tempoh masa yang berbaki beberapa jam lagi, semua pengundi diharap dapat keluar menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

ISU TULAR KERTAS UNDI TIDAK DICOP

5. SPR telah membuat semakan berkaitan isu tular kertas undi tidak dicop yang dikatakan berlaku di sebuah Pusat Mengundi. Hasil semakan mendapati ianya tidak berlaku sepertimana yang ditularkan.  

6. Namun SPR menjelaskan bahawa jika ada berlaku kesilapan itu ia adalah kes terpencil dan pengundi diminta tidak bimbang kerana sekiranya Ketua Tempat Mengundi berpuas hati bahawa kertas undi telah dikeluarkan secara sah dan ia hanya merupakan kesilapan petugas dalam salurannya, maka Ketua Tempat Mengundi berkenaan tidak boleh menolak mana-mana kertas undi dalam keadaan ia telah dikeluarkan secara sah.

7. Pengundi diminta agar tidak terpedaya dengan mesej tular ini yang kononnya SPR telah melakukan penipuan dengan cara sedemikian kerana proses ini turut disaksikan oleh semua pihak berkepentingan termasuk ejen-ejen calon.

8. SPR percaya mesej tular tersebut cuba untuk menimbulkan situasi panik dan curiga dikalangan pengundi terhadap SPR.

ISU UNDI POS TIDAK SAMPAI

9. SPR akan menyiasat perkara ini di mana masalah atau puncanya berlaku kelewatan penghantaran yang menyebabkan ada pengundi tidak menerima kertas undi mereka atau lewat diterima.

10. SPR telah menerima beberapa aduan berkaitan isu ini dan memandang serius serta akan menyiasat lanjut tentangnya.

ISU PENGUNDI TERPAKSA BERATUR PANJANG

11. Keadaan ini berlaku ekoran pengundi keluar serentak dalam satu masa. Situasi ini dipercayai berlaku ekoran pengundi terpengaruh dengan mesej tular sebelum ini yang mengesa pengundi keluar awal supaya tidak ada orang lain mengundi menggunakan nama mereka.

12. SPR telah memaklumkan sebelum ini supaya pengundi merancang dan keluar mengundi secara berperingkat supaya tidak berlaku kesesakan dan terpaksa beratur panjang.

13. Difahamkan ada kes penghuni meninggal dunia namun ia adalah kejadian di luar jangka dan SPR telah mengambil tindakan sewajarnya. Saya bagi pihak SPR juga merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa serta telah meminta SPR Negeri untuk mengambil langkah sewajarnya.

PENUTUP

14. Disaat tempoh masa pengundian yang berbaki  beberapa jam lagi, SPR menjangkakan serangan mesej-mesej tular yang palsu dan tidak bertanggungjawab akan terus disebarkan.

15. Justeru itu, SPR berharap orang ramai khususnya pengundi tidak terpengaruh dan terpedaya dengan mesej yang cuba menimbulkan suasana panik.

 

 

Sekian dan terima kasih.

 

TAN SRI MOHD HASHIM BIN ABDULLAH

Pengerusi

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)