22
Ahd, Jul
50 ARTIKEL BARU

Senarai Kabinet Diputuskan Secara Prinsip - PM

Semasa
Typography

PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata senarai anggota Kabinet dan kementerian diputuskan olehnya secara prinsip sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) mengemukakan cadangan nama anggota Kabinet dan pilihan kementerian masing-masing.

"(Dan) saya akan sahkan siapa pegang jawatan dan kementeriannya. Ada kemungkinan saya jumpa sekali lagi dengan ketua parti (dalam Pakatan Harapan) tapi prinsipnya ialah keputusan dibuat oleh saya sebagai Perdana Menteri," kata beliau pada sidang media yang padat dengan wartawan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengemukakan cadangan nama daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan jawatan masing-masing dalam Kabinet ketika bertemu dengan beliau hari ini.

"Mereka (PKR) mengemukakan 10 nama walaupun diminta tiga (nama). Dalam 10 nama itu, keutamaan ialah untuk anggota teras Kabinet iaitu 10 orang," kata beliau.

Dr Mahathir, 92, yang juga Pengerusi PH berkata satu lagi parti yang turut menghantar cadangan nama untuk anggota Kabinet ialah Parti Amanah Negara (Amanah) yang mengemukakan tiga nama.

Presiden Amanah Mohamad Sabu tidak bertemu dengannya sebaliknya menghantar cadangan nama itu melalui surat, kata perdana menteri.

Ditanya mengenai pengumuman Sabtu lepas berhubung Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang dinamakan sebagai Menteri Kewangan sedangkan masih menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Dr Mahathir berkata Lim hanya dinamakan sebagai Menteri Kewangan dan belum mengangkat sumpah.

"Dia (Lim) bukan lagi menjadi menteri sebelum dia angkat sumpah," katanya.

Dr Mahathir berkata seseorang menteri yang dilantik mestilah orang yang layak menjadi menteri dan jika menghadapi kes di mahkamah, beliau tidak boleh dilantik menyandang jawatan itu.

"Kita kena ikut peraturan undang-undang, kalau dia boleh jadi menteri, dia bolehlah jadi. Tetapi, jika undang-undang menyatakan dia perlu bebas daripada sebarang pertuduhan atau lain-lainya, baru boleh jadi menteri...kita tunggulah," jelas Dr Mahathir.

Ditanya sama ada Lim boleh mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan sekarang, perdana menteri berkata laporan perlu diperoleh terlebih dahulu sama ada beliau boleh mengangkat sumpah atau tidak.

Ditanya sama ada kerajaan PH akan membentangkan bajet yang baharu selepas 100 hari dan setelah Majlis Penasihat Kerajaan membuat pembentangan, Dr Mahathir majlis berkenaan sedang meneliti bajet pertengahan penggal.

"Tetapi, saya sudah arahkan Kementerian Kewangan untuk meneliti bajet bagi menentukan apa yang utama, yang menjadi keperluan dan sebagainya. Ini kerana, adalah menjadi harapan (PH) untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan dengan sebanyak yang mungkin hingga menjadi sejumlah wang yang boleh diperoleh kerajaan," kata beliau.

Perdana Menteri berkata Kabinet teras yang mempunyai 10 menteri dijangka akan diumumkan minggu ini manakala baki 15 menteri lagi akan diumumkan secepat yang mungkin.

Ketika ditanya siapa yang mengawasi Kementerian Kewangan sekarang, Dr Mahathir berkata pada masa ini, para pegawai Kementerian Kewangan yang memberikan laporan kepada beliau.

"Tetapi, kami (kerajaan) mempunyai panel yang memantau tugas Kementerian Kewangan dengan sesetengah tugas itu boleh dilaksanakan dan sesetengah lagi perlu menunggu pelantikan menteri, kata beliau.

Ditanya mengenai saiz perkhidmatan awam, Perdana Menteri berkata mereka tidak digugurkan sebaliknya kerajaan akan mencari satu cara untuk mereka terus bekerja namun di agensi yang berlainan seperti semasa kerajaan (pentadbiran beliau sebelum ini) mengecilkan saiz sesebuah jabatan atau agensi dengan pegawai kerajaan berkenaan dipindahkan dari jabatan kerajaan kepada swasta.