23
Sel, Okt
29 ARTIKEL BARU

Sultan Selangor Perkenan Azmin Jadi Menteri

Semasa
Typography

SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan bagi Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata baginda memberi perkenan itu selepas disembah maklum oleh Mohamed Azmin bahawa beliau bersetuju untuk menerima jawatan Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan menerusi portfolio berkenaan.

Beliau berkata menteri besar membuat keputusan itu setelah mendapat penjelasan dan pengesahan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai skop kerja dan bidang kuasa kementerian baharu.

"Mohamed Azmin, bagaimanapun akan kekal memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor buat sementara waktu hingga tempoh peralihan kuasa kepada menteri besar yang baharu dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.

"Dalam masa sama Mohamed Azmin perlu mengemukakan senarai calon-calon Menteri Besar Selangor baharu untuk penelitian dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebelum lantikan menteri besar tersebut dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.