26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Tumpu Usaha Pulihkan Ekonomi Negara

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Usaha memulihkan ekonomi negara dan menjadikan Malaysia destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara dan global menjadi tumpuan utama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau yakin Malaysia berpotensi besar untuk mengembalikan keyakinan pelabur domestik dan asing kerana mempunyai modal insan yang berketrampilan dan berilmu.

"Kementerian saya merupakan satu kementerian yang penting dah saya akan adakan pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan kementerian awal pagi esok.

"Pengalaman saya (selaku Menteri Besar) di Selangor akan membantu dalam memastikan pengurusan ekonomi negara dapat dilakukan dengan bertanggunjawab dan baik," katanya selepas mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia bersama 12 Menteri Kabinet yang lain di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu istiadat di Istana Negara, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai pengganti beliau sebagai Menteri Besar Selangor, Azmin berkata ia hanya akan diputuskan selepas berakhirnya Ramadan.

"Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah mengharapkan peralihan pentabdiran negeri Selangor akan berjalan dengan baik dan lancar. Tuanku menitah agar proses ini berjalan beberapa hari selepas sambutan Aidilfitri."

"Saya akan berbincang dengan kepimpinan parti (PKR) untuk memastikan siapa yang boleh diberikan tanggujawab baharu di Selangor. Kita akan persembahkan nama kepada Tuanku untuk dapatkan perkenan sebaik parti membuat keputusan," tambahnya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata dasar pendidikan negara yang sedia ada akan diteruskan dan ditambah baik dalam usaha meningkatkan prestasi pendidikan arus perdana ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 mengandungi perkara-perkara bermanfaat yang wajar diteruskan termasuk pendidikan tidak berorientasikan peperiksaan.

"Segala yang baik akan teruskan dan kita akan cuba membuat penambahbaikan. Bagi saya sendiri, komitmen yang saya cuba terapkan dalam sistem pengajian tinggi ataupun sistem pendidikan kita ialah 'happiness, love dan mutual respect'," kata beliau yang turut mengangkat sumpah jawatan hari ini.

"Apa yang penting ialah memastikan agar kesemua janji yang telah Pakatan Harapan berikan dalam manifesto mereka berkait dengan kedua-dua sektor berkenaan," katanya.

"Antara yang paling utama kepada pengajian tinggi adalah untuk menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, bagi memberikan kebebasan akademik dan mengangkat institut pengajian tinggi kita ke tahap antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan juga komited meringankan beban guru dan murid serta memastikan pendidikan kebangsaan menjadi pilihan semua.

Menurutnya antara langkah meringankan beban guru dan murid ialah menyediakan guru bantu, mengecilkan saiz kelas selain penggunaan teknologi.