24
Ahd, Jun
64 ARTIKEL BARU

Kerajaan akan terus lindungi agama Islam - Dr Mahathir

Semasa
Typography

PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Pendapat bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan melindungi agama Islam adalah tidak benar, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana, beliau berkata Islam merupakan agama rasmi negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan akan terus bertanggungjawab memerintah negara tanpa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

"Kita tahu bahawa ada ramai yang mendakwa kononnya mereka akan melindungi agama Islam tetapi kita dapati perbuatan mereka bertentangan dengan ajaran agama Islam."

"Sebab itu, kita tidak akan teragak-agak untuk melaksana pemerintahan mengikut landasan Islam dan akan buktikan kenapa dasar dan pendirian mereka tidak mengikut agama Islam sebenarnya."

"Kita akan mendirikan sebuah kerajaan yang betul berpegang kepada undang-undang dan perlembagaan negara dan dalam pada itu, kita tidak akan lakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama Islam," katanya semasa berucap pada majlis berbuka puasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), di sini hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM berkata konsep pentadbiran sedemikian mudah diterima oleh kaum dan agama lain kerana kerajaan berpegang kepada ajaran Islam sebenar.

Perdana Menteri turut memberi jaminan tidak akan mendiskriminasi agama lain sejajar dengan tuntutan agama Islam yang mementingkan keadilan.

"Oleh itu, InsyaAllah kita akan pulihkan semula negara kita. Hari ini kita telah mengenal pasti cara-cara mengurangkan hutang negara supaya tidak menjadi beban kepada rakyat di masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak menyangka PH mampu mencapai kemenangan cemerlang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, yang disifatkannya sebagai berkat sokongan rakyat.

Katanya rakyat harus bersyukur peralihan kuasa kerajaan berjalan lancar tanpa berlaku krisis atau rusuhan, yang seterusnya boleh menjadi contoh kepada negara lain.

"Banyak negara membangun terutama negara Islam apabila berlaku peralihan kuasa, ia berlaku dalam keadaan cemas, penuh rusuhan dan pihak yang menang tak dapat mendirikan kerajaan dan meneruskan pentadbiran negara," katanya.

 Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata PH akan menunaikan janji-janji dalam manifestonya walaupun berlaku kerosakan teruk yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

 "Kita fikir bahawa apabila kita ambil alih, dapatlah kita teruskan pemerintahan tetapi kita dapati ramai anggota kerajaan sudah dihasut sehingga mereka tidak lagi berkhidmat untuk negara dan kerajaan, sebaliknya berkhidmat untuk parti tertentu," katanya.

Menurutnya kerajaan tidak cenderung untuk mengambil tindakan terhadap mereka, bagaimanapun perkara itu tidak boleh dielakkan dan kerajaan perlu mencari pengganti tempat mereka.

"Mungkin mereka pandang ini sebagai satu penganiayaan tetapi mereka harus ingat ini dilakukan kerana mereka mengikut perintah yang bertentangan dengan dasar dan undang-undang negara."

"Ramai daripada mereka sanggup buat sesuatu atas arahan walaupun apa yang dilakukan oleh mereka bertentangan dengan undang-undang," kata Dr Mahathir.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Presiden PPBM merangkap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 

-- BERNAMA