16
Jum, Nov
46 ARTIKEL BARU

Lelaki mati jatuh sungai

Semasa
Typography

“SAYA tidak sangka dia benar-benar mahu membunuh diri.

"Ingatkan perkara itu cuma gurauan," kata kenalan kepada lelaki yang ditemui lemas di Sungai Melaka berhampiran Kampung Morten, Melaka, hari ini.

Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan mangsa ketika mereka minum tengah hari pada hari sama.

Dakwanya, mangsa ada memberitahu mengalami tekanan akibat masalah keluarga yang dihadapi, selain memberitahu mahu membunuh diri.

"Tidak sampai tempoh tiga jam saya bertemu dengannya, tiba-tiba diberitahu dia (mangsa) sudah jatuh ke dalam sungai," katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan 2.45 petang sebelum sepasukan sembilan anggota, termasuk pegawai dari Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, maklumat awal diterima kejadian itu hanya disedari oleh orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

"Difahamkan, mangsa yang berusia berusia 40-an itu berada di tebing sungai dalam keadaan mabuk, sebelum terjatuh.

"Pasukan bomba yang tiba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan mangsa dikatakan terjatuh, sebelum mayatnya ditemui," katanya.

Beliau berkata, mayat lelaki itu ditemui pada 3.45 petang tidak jauh daripada tempat dia dikatakan terjatuh.

"Mayat ditemui tersangkut dalam keadaan terlangkup pada besi pencengkam (grappling iron) yang digunakan bomba untuk mengesan kedudukan mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 8:03 PM