22
Sab, Sep
110 ARTIKEL BARU

Ahmad Zahid masih beri keterangan kepada SPRM

Semasa
Typography

Selepas lebih tiga jam, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih memberi keterangan kepada SPRM berhubung dua kes yang disiasat suruhanjaya itu.

Menurut akhbar Utusan Malaysia, adalah difahamkan, tempoh mengambil keterangan mungkin akan berlanjutan sehingga jam 7 petang ini.

Dua kes yang disiasat itu membabitkan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan penyelewengan dana sebuah yayasan diterajui Ahmad Zahid bernilai lebih RM1 juta.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 9.52 pagi bagi memberi keterangan berhubung siasatan dua berkenaan.

Bekas timbalan perdana menteri itu tiba dengan menaiki kenderaan Vellfire dan diiringi seorang pengawal peribadi.

Tiada peguam dilihat menemaninya.

Kira-kira lima pegawai SPRM menunggu ketibaan beliau di pintu masuk bangunan suruhanjaya itu.

Ketika melangkah masuk ke bangunan berkenaan, Zahid yang memakai baju batik berwarna oren, dilihat melambai dan tersenyum ke arah wartawan.

Sebelum ini, akhbar The Star melaporkan Zahid disyaki menyalahgunakan dana tersebut sebanyak RM800,000 bagi membayar hutang kad kredit miliknya dan isteri.

Pada sidang akhbar di ibu pejabat Umno semalam, Zahid berkata beliau dan keluarganya menubuhkan yayasan itu untuk menjalankan aktiviti amal seperti membina masjid, sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan aktiviti kebajikan lain.

"Wang dalam yayasan keluarga saya adalah sumbangan saya sendiri dan beberapa kawan yang hendak melakukan amal jariah," katanya.

Selain itu SPRM juga dijangka menyoal siasat Zahid berhubung dakwaan beliau bertemu seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi.

Pada 2015, Zahid mengesahkan secara peribadi sudah bertemu wakil keluarga dari Asia Barat itu, yang didakwa menderma RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Razak.

Faisal Asyraf  |  Diterbitkan   |  Dikemaskini