26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

'Sultan Melaka' lepas, bebas empat tuduhan

Semasa
Typography
Mohd Hilmie Hussin
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh, hari ini melepas dan membebaskan ahli perniagaan Noor Jan Tuah, 61, terhadap empat tuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka, lima tahun lalu.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki berkenaan.

“Tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua empat pertuduhan,” kata Meor Sulaiman pada akhir prosiding itu.

Noor Jan dari Taman Seri Gombak, Selangor didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai Sultan Melaka, iaitu bukan identiti sebenarnya.

Semua empat tuduhan didakwa dilakukan tertuduh di sebuah pusat peranginan di Alor Gajah pada jam 10 malam, 28 Disember 2013.

Noor Jan ditahan polis pada Januari 2014 ketika dalam perjalanan ke Pulau Besar untuk satu upacara yang didakwanya sambutan Maulidur Rasul.

Sejak dibicarakan pada 17 November lalu, seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil bagi memberi keterangan di mahkamah.

Pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri, Azhar Mokhtar dan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim, manakala Noor Jan diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Mohd Khairul Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 2:13 PM