17
Isn, Dis
9 ARTIKEL BARU

Nazir Razak hadir di Rumah Terbuka BERSATU

Semasa
Typography

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak malam ini dilihat hadir di rumah terbuka anjuran Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Majlis yang diadakan di SJK (C) Pandamaran A di Klang.itu dihoskan oleh ketua strategi BERSATU Rais Hussin, yang juga ketua BERSATU bahagian Klang.

Hadir bersama Nazir ialah isterinya Azlina Aziz dan anak mereka.

Beliau dilihat duduk bersebelahan dengan Timbalan Ketua strategi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Nazir sebelum ini pernah beberapa kali mengkritik kerajaan BN walaupun beliau merupakan adik kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada Februari 2015, beliau bersama adik beradik yang lain mengeluarkan kenyataan keluarga untuk menafikan dakwaan  bahawa kekayaan abangnya berpunca daripada harta warisan keluarga mereka.

Kenyataan itu juga menyebut dakwaan tersebut mencemarkan nama bapa mereka, Tun Abdul Razak Hussein, yang juga merupakan perdana menteri kedua Malaysia.

Kenyataan itu muncul lima bulan sebelum Wall Street Journal mendedahkan deposit berbilion ringgit dalam akaun bank peribadi Najib, yang mana penyiasat mendakwa ia berasal daripada dana 1MDB milik kerajaan Malaysia.

Najib menafikan sebarang salah laku atau mengambil dana awam untuk keuntungan peribadi.

Pada pilihan raya umum lalu, BN yang diketuai Najib mengalami kekalahan pertama dan terburuk dalam tempoh 61 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan.

Nazir juga sebelum ini memuji Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mengatakan perdana menteri itu tidak pernah lupa terhadap pengorbanan bapanya.

"Kedua-dua mereka berkongsi kesungguhan yang sama iaitu membangunkan negara sebaik mungkin dan melangkaui pengorbanan peribadi," kata Nazir.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.