16
Kha, Ogs
56 ARTIKEL BARU

Yaakob Sapari pilihan PKR di Sg Kandis?

Semasa
Typography
Lum Chee Hong  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini
 
PKR berkemungkinan besar akan mempertaruhkan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik Dr Yaakob Sapari untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Sumber yang mengetahui perkara itu berkata pengumuman berkaitan perkara itu dijangka akan dibuat pada Jumaat ini.

“Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali akan mengumumkannya pada petang Jumaat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Yaakob pernah menjadi ADUN Kota Anggerik selama dua penggal sejak 2008 hingga 2018, namun digugurkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-4) lalu.

Beliau juga pernah menjadi exco pemodenan pertanian, pengurusan sumber alam dan pembangunan usahawan Selangor.

PRK Sungai Kandis diadakan susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK DUN Sungai Kandis pada 21 Julai ini.