17
Isn, Dis
9 ARTIKEL BARU

Pecutan terakhir kempen Sungai Kandis

Semasa
Typography
 

 

 

SHAH ALAM: Selepas dua minggu, akhirnya tiba pecutan terakhir sebelum tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis tamat pada jam 11.59 malam ini.Banyak yang dialami sepanjang dua minggu calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam menyantuni penduduk di Sungai Kandis bagi meraih undi mereka pada hari pengundian esok.

 

 

Kempen antara dua veteran reformasi, asalnya bermula dengan baik, masing-masing membawa isu tersendiri, Mohd Zawawi sebagai orang tempatan, memperjuangkan nasib dan kehendak penduduk kawasannya manakala Lokman, biarpun pernah suatu hari dahulu menjadikan Jalan Kebun sebagai pangkalannya pada zaman reformasi bersama-sama Ketua Angkatan Muda Keadilan yang pertama, Datuk Ezam Mohd Nor, lebih selesa membawa isu bersifat nasional.

 

Namun, tidak perlu menunggu lama apabila kempen PRK Sungai Kandis mulai dicemari bahan kempen yang jika dilihat dari sudut mana pun jelas berbentuk serangan terhadap keperibadian calon lawan, ketika klip video tarian gelek dalam satu majlis anjuran syarikat persendirian dijadikan bahan kempen yang mengaitkan Mohd Zawawi.

 

Sudah tentu dakwaan itu mencemarkan nama baik Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh itu, apatah lagi beliau yang berpendidikan dari Universiti Al Azhar, Mesir itu juga antara pengasas sebuah rumah perlindungan wanita di Jalan Kebun.

 

Tidak cukup klip video tarian gelek, klip video yang dikatakan memaparkan individu didakwa Mohd Zawawi sedang menari pula tersebar menyebabkan calon PKR itu tampil membuat penafian dan laporan polis.

 

PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang bersama Calon PKR, Mohd Zawawi Mughni ketika kempen PRK DUN Sungai Kandis di Bukit Kemuning, Shah Alam, semalam. - Foto Syarafiq Abd Samad

 

CALON BN, Datuk Lokman Noor Adam ketika berkempen di Gerai Makan MPK, Taman Seri Andalas. - Foto Roslin Mat Tahir

 

Kempen Lokman pula lebih banyak menyentuh hal berkaitan janji pilihan raya Pakatan Harapan, kedudukan suara pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan isu dasar negara serta negeri yang jarang menarik minat pengundi di kawasan luar bandar seperti Jalan Kebun dan Johan Setia.

 

Pada masa sama, kedua-dua calon juga seolah-olah berebutkan undi dan simpati dari ahli serta penyokong PAS yang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyumbang lebih 7,000 undi kepada parti Islam itu.

 

Lokman kelihatan seperti mendapat kelebihan selepas beberapa pemimpin PAS pusat menyatakan pendirian supaya ahli dan penyokong parti itu memilihnya berbanding calon PH biar pun sejak berdekad lamanya kedua-dua parti UMNO dan PAS bermusuhan.

 

Namun, kedudukan Mohd Zawawi yang juga mesra disapa sebagai Ustaz Zawawi di kawasan tempat kelahirannya tidak boleh dipandang remeh kerana sudah tentu beliau lebih disenangi dalam kalangan pengundi PAS dengan perwatakannya yang lebih sopan dan lembut berbanding tingkah Lokman yang lebih keras.

 

Minggu terakhir menjelang hari mengundi esok juga menyaksikan kedua-dua kem dibantu nama-nama besar dalam parti masing-masing.

 

Selepas kempen yang bermula sejuk menjadi suam kemudian sejuk kembali minggu lalu, minggu ini menyaksikan aksi tokoh seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan hulubalangnya serta bekas Presiden parti dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turun padang berkempen bagi memberikan lebihan undi kepada Lokman.

 

CALON BN, Datuk Lokman Noor Adam ketika berkempen di Gerai Makan MPK, Taman Seri Andalas. - Foto Roslin Mat Tahir

 

BN jelas mensasarkan untuk mengurangkan majoriti undi yang akan diperoleh Mohd Zawawi esok kalau tidak menang dalam pertembungan tiga penjuru itu.

 

Lantas, nada kempen dari pemimpin besar UMNO jelas mengkritik hebat dasar dan keputusan yang dibuat kerajaan PH yang belum pun sampai 100 hari itu. Isu daripada kasut hitam hingga penstrukturan semula industri air di Selangor, meniti bibir pemimpin UMNO selain bermain dengan sentimen lebih 70 peratus pengundi Melayu di kawasan itu apabila membawa isu kedaulatan Raja Melayu dan masa depan agama Islam kepada khalayaknya.

 

Kem satu lagi juga tidak kurang dengan barisan pemimpin hebat yang kini sudah menjadi pembesar negara, yang giat berkempen biar pun sibuk dengan persidangan di Parlimen dan tugasan dalam kerajaan.

 

Pemimpin seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Dr Xavier Jayakumar, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, malah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari datang bersenjatakan maklumat dan hujah yang diperkukuhkan dengan apa yang mereka perolehi sejak menduduki tampuk pemerintahan negara dan negeri selepas 9 Mei lalu.

 

Malah, bak kata Amirudin pada Ceramah Perdana bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bandar Puteri Klang malam tadi, beliau ternanti-nanti apa serangan kem BN terhadap pentadbiran PH dan apabila diusik Najib mengenai kos pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH), terus dijawabnya dalam ucapan berapi.

 

Kunjungan Anwar berkempen untuk Mohd Zawawi juga sejak 31 Julai lalu juga tidak boleh dinafikan memberi impak kepada kempen PKR dalam PRK paling awal dalam sejarah negara ini.

 

Walaupun tidak beratus ribu penyokong datang mendengar, maklum lah ini bukan Padang Timur ketika Blackout 505 pada Mei 2013, Anwar masih mampu menarik perhatian penduduk di kawasan berkenaan mendengar kempen dan ceramahnya.

 

Malam ini pecutan terakhir kem PH sekali lagi akan menampilkan Anwar selain Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Amirudin Shari, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad bin Sabu, Mohamed Azmin, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Saifuddin Nasution dan Dr Xavier Jayakumar di Tapak Rakan Muda Andalas dalam usahanya membawa pulang majoriti yang lebih besar.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.