21
Rab, Nov
46 ARTIKEL BARU

Subsidi kos haji kekal - Mujahid

Semasa
Typography

MAKKAH: “Kalau orang Malaysia sudah kaya, sudah mampu, baru kita fikir untuk kurangkan subsidi. Buat masa ini ia kekal.”

 

Itu kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengenai status pemberian subsidi oleh kerajaan untuk kos menunaikan haji.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan dan mendengar taklimat pengurusan operasi haji tahun ini di pusat operasi Tabung Haji (TH) di Hotel Abraj Al-Janadriyah, di sini, semalam.

 

Hadir sama, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Timbalannya untuk sektor Kebajikan, Nurrinanuwar Shamsuddin.

 

Mujahid berkata, beliau sedar teras utama TH ditubuhkan ialah untuk memberi khidmat kepada jemaah haji, justeru pihaknya akan kekal dengan teras itu.

 

"Pada masa yang sama kita juga berharap sektor perniagaan TH akan menunjukkan prestasi lebih baik untuk membolehkan kita terus memberi subsidi sebagaimana yang dilakukan sekarang ini," katanya.

 

Menurutnya, orang ramai khususnya jemaah haji perlu sedar bahawa subsidi diberikan kerajaan pada masa ini lebih daripada kos yang dibayar jemaah untuk menunaikan haji.

 

“Jemaah cuma bayar RM9,980 manakala subsidi yang kerajaan beri hampir RM12,000 bagi setiap jemaah. Tiada negara lain di dunia yang buat begitu,” katanya.

Mujahid berkata, beliau juga berharap pengurusan tertinggi TH yang baru dilantik dapat memacu organisasi itu ke arah pemulihan untuk menjana perolehan yang lebih baik.

 

“Bahagian perniagaan (TH) sedang melalui pemulihan. Kita sudah ada pengerusi baru, Ketua Pegawai Ekskutif baru dan mungkin dalam masa yang terdekat, ahli-ahli lembaga pengarah yang baru akan diperkenalkan.

 

"Ingin saya tegaskan, dalam proses pemulihan ini TH akan kembali kepada asas dan terasnya iaitu segala keuntungan akan dipulangkan semula kebajikannya kepada jemaah haji," katanya.

 

Selain itu, kata Mujahid, pihaknya katanya akan turut meneliti semula pelan subsidi ibadat haji yang dibuat oleh pengurusan TH terdahulu, sama ada ia masih relevan untuk diteruskan atau sebaliknya.

 

Beliau turut memuji perkhidmatan cemerlang yang ditunjukkan TH selama ini dan menyifatkannya selaras dengan teras kerajaan baru iaitu untuk menjadi terbaik dunia.

 

"Sejak awal saya terbabit, bermula dengan taklimat prahaji sehingga sekarang, bagi saya TH melakukan yang terbaik.

 

"Sebagaimana salah satu teras kerajaan baru iaiti Model Malaysia, bagi saya (TH) inilah modelnya...yang terbaik dunia. Orang lain kalau nak belajar pengurusan haji boleh datang kepada kita, saya cukup bangga," katanya.

 

Mujahid turut memberitahu setakat ini, tujuh jemaah haji Malaysia meninggal dunia iaitu enam di Makkah dan satu di Madinah manakala 10 dimasukkan ke wad hospital tempatan dan 94 dirawat di pusat kesihatan TH.