26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Kuala Kedah bakal terima terminal feri baharu

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan membina terminal feri baharu di sebelah Terminal Feri Kuala Kedah bagi keselesaan penumpang, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek pembinaan terminal feri baharu itu akan mengambil tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk disiapkan

"Kita masih kekalkannya (terminal baharu) di lokasi sedia ada tetapi kita akan pastikan lokasi terminal feri yang akan dibina itu tidak akan berlaku mendapan dan banjir seperti mana di terminal sebelum ini.

 

"Malah proses pembinaan itu juga tidak akan menjejaskan mana-mana penumpang feri," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) pada sesi soal jawab lisan.

 

Dr Azman ingin tahu jika kementerian akan memindahkan kedudukan Terminal Feri Kuala Kedah ke suatu lokasi yang lebih strategik dan berpotensi agar tidak mendatangkan masalah pada masa depan.

 

Menjawab soalan asal, Loke yang juga anggota Parlimen Seremban berkata pihaknya telah memperuntukkan RM208.9 juta untuk melaksanakan projek pembinaan semula dan menaik taraf Terminal Feri Kuala Kedah.

 

Katanya, antara skop projek itu adalah meningkatkan paras ketinggian tanah dan menaik taraf sistem perparitan yang baik serta sistematik.

 

"Pada masa ini, kementerian sedang mengenal pasti kaedah perolehan dan agensi pelaksana bagi projek ini, seterusnya kita akan menganjurkan makmal pengurusan nilai dengan melibatkan agensi berkaitan

 

"Pada masa sama, proses perolehan tanah untuk projek tersebut juga sedang dilaksanakan," katanya dan menambah pelantikan perunding secara tender terbuka dijangka dapat dibuat pada Disember 2018 dan projek ini akan bermula pada suku ketiga 2019.

 

Dr Azman dalam soalan asalnya meminta kementerian menyatakan rancangan pihak kementerian untuk menaik taraf dan mengatasi masalah air pasang melimpah di Terminal Feri Kuala Kedah. - BERNAMA