Dalam kejadian pukul 1.45 petang itu, lima lelaki bertopi keledar penuh serta bersenjatakan pistol dan tukul besi memasuki kedai emas yang berada di tingkat bawah pusat beli-belah berkenaan.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, lima suspek tersebut melulu masuk ke dalam kedai emas berkenaan sebelum bertindak memecahkan cermin pameran bagi mengambil barang kemas.

“Sebanyak 12 dulang barang kemas pelbagai jenis dilarikan enam suspek dalam tempoh tiga minit dan ketika kejadian tiada pelanggan dalam kedai emas tersebut.

“Pengawal keselamatan mempunyai senjata api, namun tidak mampu bertindak berikutan tiga daripada lima suspek itu mengacukan satu objek menyerupai pistol,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurutnya lagi, pihak polis kini sedang mengesan lima suspek berkenaan yang melarikan diri menaiki tiga buah motosikal.

“Operasi mengesan mereka yang terlibat giat dijalankan dan anggaran kerugian rompakan RM800,000.

“Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” ujarnya. - K! ONLINE