Kejadian kira-kira 10.30 malam itu menyebabkan Mohd Khairul Abdul Karim, 33, cedera di bahagian muka kiri membabitkan pipi, bibir dan kelopak mata hingga menerima 20 jahitan akibat hentakan.

 

Mohd Khairul yang merupakan pekerja Felda berkata kejadian cemas itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sedili, di sini, selepas selesai urusan di Johor Bahru.

Menurut Khairul, apabila di lokasi kejadian, dia terkejut melihat sekawan gajah berada di tengah jalan dan tidak sempat mengelak hingga melanggar kaki seekor daripada gajah berkenaan.

"Keadaan jalan ketika itu gelap. Disebabkan saya menggunakan lampu rendah, saya gagal mengesan kehadiran sekawan gajah yang dianggar antara tiga dan empat ekor berkenaan.

"Saya gagal mengelak lalu melanggar kaki seekor gajah tersebut. Saya panik lalu segera keluar daripada kenderaan kerana bimbang diserang gajah berkenaan walaupun gajah terbabit menuju ke dalam hutan berhampiran," katanya.

Mohd Khairul yang memiliki empat anak berkata, dia kemudian dibantu sepasang suami isteri yang menaiki sebuah Perodua Viva sekali gus menghubungi ambulans.

"Ketika kami sedang menunggu kehadiran ambulans, sekawan gajah yang sama berpatah balik ke arah kereta saya, lalu memijak kenderaan hingga remuk di bahagian hadapan sebelum melarikan diri ke hutan semula," katanya.

Menurutnya, dia merasa amat bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri setelah melanggar gajah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang ditemui pula berkata kejadian membabitkan gajah merupakan kes kelapan dilaporkan di kawasan Sedili tahun ini.

Beliau berkata isu gajah sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu yang merosakkan tanaman serta mengancam penduduk sekitar Felda Waha, Aping Timur, Aping Barat, Felcra Sungai Ara dan Bukit Easter serta Mawai.

"Bagi menangani isu ini, saya menggesa pihak kerajaan negeri meneruskan projek santuari gajah di Panti, di sini, bagi menempatkan hidupan liar itu yang berkeliaran di kawasan ini," katanya. - Bernama