18
Kha, Okt
51 ARTIKEL BARU

Terkejut 'kera' menjerit

Semasa
Typography
Ekhwan Haque Fazlul Haque
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

LELAKI mengerang kesakitan selepas terkena tembakan senapang patah ketika sedang memanjat pokok dabai di hutan Kampung Balan Jalan Melekun, Kapit, kelmarin.

Dalam kejadian 5.40 petang itu, mangsa yang berusia 60-an bersendirian memanjat pokok dabai berkenaan sebelum ditembak lelaki berusia 64 tahun.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian berkata, suspek masuk ke kawasan hutan berkenaan untuk memburu haiwan bersama selaras senapang patah.

Menurutnya, sebaik tiba di kawasan itu, suspek menyangka kera berada di atas pokok dabai berkenaan sebelum melepaskan tembakan.

"Suspek bagaimanapun terkejut selepas mendengar jeritan seorang lelaki. Lelaki terbabit kemudian bergegas melakukan pemeriksaan sebelum menemui seorang lelaki berlumuran darah di beberapa bahagian badan.

"Mangsa yang lemah kemudiannya segera dihantar ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut dan suspek kemudian tampil ke Balai Polis Kapit untuk membuat laporan polis berhubung kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Freddy berkata, berdasarkan pemeriksaan lanjut oleh pasukan perubatan, mangsa mengalami kecederaan pada belakang kir badan, punggung, siku kiri dan peha kanan akibat terkena peluru penabur digunakan suspek.

Katanya, sejurus menerima maklumat itu, polis menahan suspek selain merampas selaras senapang patah yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

"Siasatan lanjut mendapati senapang patah berkenaan dilesenkan atas nama bapa mentua suspek dan digunakan lelaki itu untuk memburu.

"Mangsa pula dihantar ke Hospital Sibu untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru pada badannya dan kini dilaporkan stabil," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan pemilik senjata api itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 8(b) akta sama kerana melanggar syarat permit iaitu mebenarkan orang lain menggunakan senapang patah.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.