26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

FGV gantung tugas CEO, dagangan saham digantung sementara

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd Datuk Zakaria Arshad telah digantung daripada tugasnya selepas satu notis siasatan dihantar kepada beliau.

Lembaga Pengarah mengeluarkan notis itu selepas memuktamadkan siasatan dalaman terhadap 10 isu kritikal yang membawa kepada kerugian kewangan FGV dan pemegang sahamnya.

"Susulan notis siasatan itu, kuasa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang diberikan kepadanya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV telah digantung bermula hari ini sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

"FGV akan terus beroperasi seperti biasa. Bagi tempoh sementara, Jawatankuasa Lembaga Pengarah Khas 2 yang terdiri daripada empat pengarah FGV, iaitu Pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, Datuk Dr Salmiah Ahmad, Dr Mohamed Nazeeb P Ali Thambi dan Datin Hoi Lai Ping, akan menggalas tanggungjawab untuk melaksanakan fungsi-fungsi Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif ," kata syarikat itu.

FGV telah meminta Bursa Malaysia menggantung dagangan sahamnya sehingga 5 petang hari ini.

Pengumuman seterusnya akan dibuat sekiranya terdapat perkembangan terbaharu dalam isu itu.

Sebelum penggantungan dagangan, harga saham FGV naik setengah sen kepada RM1.54 pada 3.28 petang, dengan 4.2 juta saham diniagakan. -- Bernama