11
Sel, Dis
28 ARTIKEL BARU

Pelantikan Raus dan Zulkefli sah

Semasa
Typography
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

PUTRAJAYA: Kerajaan berpendirian bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan pada tahun lalu, adalah sah dan berperlembagaan.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili Pejabat Peguam Negara, berkata persoalan rujukan dikemukakan Badan Peguam bagi mencabar pelantikan kedua-dua hakim kanan berkenaan kini bersifat akademik.

Menurut Suzana, ia adalah berdasarkan perkembangan terbaru bahawa Raus dan Zulkefli sudah melepaskan jawatan masing-masing pada 11 Julai lalu.

Suzana berkata demikian pada prosiding klarifikasi di hadapan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan bagi menjawab persoalan undang-undang sama ada pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan untuk menjawat jawatan masing-masing, adalah berperlembagaan.

Sementara itu, Peguam Datuk S Ambiga yang mewakili Badan Peguam berkata, pihaknya mengambil pendirian bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan itu tidak bersifat akademik walaupun kedua-dua hakim kanan berkenaan sudah melepaskan jawatan masing-masing.

Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) turut mengemukakan saman pemula sama dan diwakili Peguam Ranbir Singh, menyokong hujahan Badan Peguam.

Sementara itu, peguam Azly Manas yang mewakili Persatuan Peguam Muslim Malaysia selaku pencelah, berpendirian bahawa pelantikan itu adalah berperlembagaan, bagaimanapun persoalan pelantikan itu perlu diputuskan mahkamah kerana ia tidak bersifat akademik.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Tun Dr Mahathir Mohamad selaku peguam pemerhati yang turut menyokong hujahan Badan Peguam, berkata mahkamah mesti memberikan keputusannya bagi rujukan membabitkan prosedur pada masa hadapan.

Panel tujuh hakim yang diketuai Tan Sri Hasan Lah kemudian menangguhkan prosiding kepada satu tarikh lain untuk membuat keputusan.

Turut bersidang, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Majlis Peguam memfailkan saman pemula pada 10 Oktober tahun lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan perisytiharan bahawa pelantikan Raus dan Zulkefli tidak sah dan tidak berperlembagaan kerana kedua-duanya melepasi umur persaraan mandatori 66 tahun, enam bulan.

Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menangguhkan prosiding dan merujuk lima persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan kesahan pelantikan kedua-dua hakim kanan itu.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.